Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alcaraz, Swiatek melangkah ke suku akhir

    INDIAN WELLS, AMERIKA SYARIKAT, 15 MAC – Pemain pilihan utama, Carlos Alcaraz dan Iga Swiatek mara ke suku akhir Indian Wells seperti yang dijangka semalam, manakala Daniil Medvedev mengatasi kecederaan untuk menang menentang Alexander Zverev selepas tiga set yang mendebarkan.

    Alcaraz, pemain nombor dua dunia itu mampu merampas semula ranking teratas dunia jika menang minggu ini, selepas perlawanan singkat semalam di gelanggang stadium apabila pemain Britain, Jack Draper menarik diri akibat kecederaan perut ketika pemain muda Sepanyol itu mendahului 6-2, 2-0.

    Sementara itu, pemain nombor satu dunia, Swiatek, berjaya memenangi perlawanan selepas rali yang lama ketika dia menewas juara Terbuka AS 2021, Emma Raducanu dengan keputusan 6-3, 6-1.

    Kemajuan lancar mereka adalah berbeza dengan drama pada awal hari itu, apabila Medvedev menahan kesakitan selepas terjatuh dengan teruk dan mengalami kecederaan buku lali untuk menewaskan Zverev 6-7 (5/7), 7-6 (7/5),
    7-5 untuk meneruskan rentak kemenangan ATPnya kepada 17 perlawanan.

    Pemain nombor enam dunia itu, yang muncul daripada kemenangan ATP di Rotterdam, Doha dan Dubai, terseliuh buku lali kanannya dan terbaring di gelanggang selama beberapa minit sebelum berjalan terpincang ke tempat duduknya.

    Zverev, yang mengalami tiga ligamen buku lali koyak pada Terbuka Perancis tahun lalu, dan merasa bimbang, tetapi selepas kecederaan itu diperiksa dan dibalut oleh kakitangan perubatan Medvedev meneruskan aksi dan mengubah perlawanan.

    “Pada mulanya ia agak menyakitkan, jadi saya lebih prihatin dan fokus pada buku lali saya berbanding permainan,” kata Medvedev. – AFP

    Carlos Alcaraz, membalas pukulan kepada Tallon Griekspoor di kejohanan tenis Terbuka BNP Paribas pada Isnin lalu, di Indian Wells, California. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda