MADRID, 24 APRIL – Pemain nombor tiga dunia, Carlos Alcaraz menarik diri daripada Terbuka Madrid hari ini akibat kecederaan paha, sekali gus menjejaskan persiapannya untuk mempertahankan gelaran Terbuka Perancis.
Pemain Sepanyol berusia 21 tahun yang pernah menjuarai Grand Slam sebanyak empat kali itu mengalami kecederaan tersebut ketika tewas dalam perlawanan akhir Terbuka Barcelona kepada Holger Rune, Ahad lalu.
“Saya telah melakukan segala yang termampu, tetapi keadaan tidak banyak berubah sejak beberapa hari lalu,” kata Alcaraz dalam satu sidang media.
“Keadaan tidak seperti yang saya harapkan untuk beraksi di sini dan kami telah memutuskan untuk tidak mengambil risiko.
“Jika saya bermain, ia mungkin akan memburukkan lagi keadaan… keputusan yang sukar perlu dibuat dan saya fikir kami telah membuat keputusan yang tepat.”
Alcaraz menyasarkan untuk menjulang trofi Terbuka Madrid buat kali ketiga selepas kemenangan pada tahun 2022 dan 2023. Bagaimanapun, dia tidak menjalani sebarang sesi latihan sepanjang minggu ini selepas tiba di ibu negara Sepanyol pada Isnin lalu.
Pemain muda itu tidak menolak kemungkinan untuk beraksi di Terbuka Itali dan yakin akan kembali bersaing di Terbuka Perancis.
“Saya yakin akan berada di Roland Garros dan akan lakukan segala-galanya untuk beraksi di Rom,” katanya.
“Isnin ini saya akan menjalani ujian lanjut untuk melihat perkembangan kecederaan dan dari situ kita akan menilai jadual beberapa minggu akan datang dan tahap kesediaan tubuh saya.”
Undian utama Terbuka Perancis dijadual bermula pada 25 Mei. – AFP
