Thursday, December 5, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alcaraz tersingkir dari Paris Masters

    PARIS, 1 NOV – Pemain nombor dua dunia, Carlos Alcaraz mengakui bahawa dia ‘tidak sehebat’ pemain ranking ke-18, Ugo Humbert dari Perancis, yang mencipta kejutan dengan kemenangan pusingan ketiga di Paris Masters ke atas bintang Sepanyol itu semalam.

    Pemain kidal Humbert, menewaskan Alcaraz dengan keputusan 6-1, 3-6, 7-5, sekali gus mencatatkan kemenangan pertamanya ke atas juara Terbuka Perancis dan Wimbledon, setelah tewas dua kali kepada Alcaraz pada awal tahun 2024.

    Ia merupakan malam yang mencabar buat Alcaraz, yang ketinggalan 0-5 pada set pertama sebelum akhirnya berjaya memungut mata.

    “Ia adalah perlawanan yang sangat sengit. Saya bermula dengan sedikit keraguan terhadap permainan saya. Berdepan pemain yang menyerang pada setiap peluang dan memukul bola dengan begitu agresif, tidak mudah untuk saya menyesuaikan diri dalam perlawanan ini,” kata Alcaraz.

    “Saya tidak setanding tahap yang dipamerkan oleh Ugo. Persembahannya cemerlang. Cara dia memukul bola memang luar biasa,” ujarnya.

    Humbert ketika bersalaman dengan Alcaraz (kanan) selepas perlawanan di Accor Arena – Palais Omnisports de Paris-Bercy, baru-baru ini. – AFP

    Humbert, yang telah memenangi dua gelaran di Marseille dan Dubai pada tahun ini, menyatakan bahawa dia sangat berbangga dengan dirinya.

    “Ia adalah perlawanan yang luar biasa, dengan suasana yang amat luar biasa,” katanya.

    Alcaraz, 21, telah mengharungi musim kedua yang tidak menentu sejak kekalahannya di final Olimpik Paris kepada Novak Djokovic. Dia tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat kepada pemain ranking ke-74, Botic van de Zandschulp, sebelum kembali menewaskan pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner, di final Beijing.

    Namun, beliau tersingkir di suku akhir Shanghai Masters selepas tewas kepada pemain nombor 33 dunia, Tomas Machac.

    Humbert akan berdepan pemain Australia, Jordan Thompson, dalam usaha menempah slot separuh akhir Paris Masters.

    Pemain nombor satu Perancis itu mencatatkan 28 pukulan kemenangan berbanding 23 oleh Alcaraz, sementara kedua-dua pemain melakukan 38 kesilapan dalam perlawanan tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda