PARIS, 29 OKT – Pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz berkata, “tiada rasa langsung” selepas tewas 4-6, 6-3, 6-4 dalam perlawanan pembukaannya di Paris Masters, kelmarin, kepada pemain Britain, Cameron Norrie yang berada di ranking ke-31 dunia.
Juara enam kali Grand Slam itu masih gagal menjuarai Paris Masters dalam lima percubaan dan kini berdepan risiko kehilangan kedudukan teratas dalam ranking sekiranya pesaingnya, Jannik Sinner memenangi kejohanan tersebut.
Selepas tiga minggu berehat daripada pertandingan rasmi akibat kecederaan pada buku lali yang memaksanya terlepas Shanghai Masters, Alcaraz berkata, dia hadir ke Paris dalam keadaan fizikal yang baik.
“Saya banyak berlatih, rasa hebat, bergerak di atas gelanggang, memukul bola,” kata pemain berusia 22 tahun itu.
“Tetapi hari ini, walaupun dalam set pertama saya menang, saya rasa saya boleh lakukan lebih daripada apa yang saya buat. Dalam set kedua, saya cuba untuk lebih baik, tetapi ia sebaliknya. Saya rasa lebih teruk,” ujarnya.

Seperti ketika kejayaannya di Roland Garros awal musim ini, Alcaraz mengalami kejatuhan prestasi di tengah perlawanan, namun kali ini beliau tidak mampu bangkit semula di bandar Perancis.
Bagaimanapun, pemain Sepanyol itu memuji lawannya kerana memanfaatkan kesilapannya, “Saya harus beri kredit kepada Cam juga, kerana saya rasa dia tidak membenarkan saya kembali ke perlawanan. Norrie seorang pemain tenis yang hebat,” kata Alcaraz.
Apabila servis pertama dan pukulan belakang tangan Alcaraz telah gagal, Norrie mengekalkan ketenangan untuk memecahkan kedudukan 3-3 dalam set penentuan dan membawa kepada dua mata perlawanan.
Norrie berkata, dia segera menyingkirkan sebarang pemikiran tentang kemungkinan Alcaraz melakukan tindakan ‘meloloskan diri’ seperti dalam final Terbuka Perancis menentang Sinner pada Jun lalu.
“Saya ingat ketika bermain dengannya di Rio (2023) dan saya berada 40-30 ketika servis untuk perlawanan, saya ingat saya sasar T dan saya berkata, ‘Okay, saya akan sasar T lagi,” katanya. “Saya berjaya mengenai sasaran dan dia gagal mengembalikan bola. Ia momen yang baik.” – AFP

