NEW YORK, 26 OGOS – Carlos Alcaraz tampil di Terbuka Amerika Syarikat (AS) kelmarin dengan penampilan baharu: berkepala botak.
Alcaraz, yang merupakan pemain pilihan kedua di Flushing Meadows, mencuri perhatian dengan potongan rambutnya sebelum turun menewaskan Reilly Opelka, 6-4, 7-5, 6-4 dalam lebih dua jam di Stadium Arthur Ashe pada sebelah malam.
Pemain Sepanyol berusia 22 tahun itu sekali lagi mempamerkan persembahan unggul. Dia hanya melakukan 17 kesilapan memenangi 50 daripada 58 mata servis pertama, menyelamatkan ketiga-tiga point break, memecah servis Opelka tiga kali dan memperbaiki rekodnya kepada 19-0 dalam perlawanan pembukaan di kejohanan Grand Slam.
Sebelum perlawanan, Alcaraz sempat berjumpa bintang golf, Rory McIlroy, yang menyentuh kepala Alcaraz untuk merasakan rambutnya. Ketika Alcaraz bermain dalam acara beregu campuran Terbuka AS minggu lalu, dia masih mempunyai rambut penuh.
Dalam temu bual di atas gelanggang selepas kemenangan, Alcaraz meminta pendapat penonton mengenai penampilan baharunya.

“Saya nak tanya orang ramai sama ada mereka suka potongan rambut baharu ini atau tidak. Kamu suka tak, semua?” soalnya kepada penonton di Ashe.
Mereka bersorak tanda setuju.
“Saya rasa, mereka sukakannya,” kata Alcaraz
Bagaimanapun, seorang lagi atlet dan rakannya tidak begitu mengemari dengan potongan rambut baharu itu: Frances Tiafoe, yang tewas kepada Alcaraz di separuh akhir New York pada 2022, tahun Alcaraz memenangi gelaran Terbuka AS buat kali pertama daripada lima trofi Grand Slamnya.
“Memang teruk. Memang teruk betul. Tapi itu kawan saya,” kata Tiafoe tentang rambut Alcaraz. “Lucu juga, saya tengok dia, saya fikir, ‘Mungkin ini lebih aerodinamik.’”
Kritikan Tiafoe tidak berhenti di situ.
“Saya tak tahu siapa yang suruh dia buat begitu, tapi memang teruk. Dari orang yang selalu potong rambut setiap minggu dan bangga dengan potongan rambutnya yang cantik, ini memang mengerikan,” tambah Tiafoe. “Tapi pada akhirnya, itu Carlos, dan dia kawan saya.” – AP

