Ahad, 23 November 2025
28 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alcaraz tewaskan Sinner jadi juara Terbuka AS kali kedua

    NEW YORK, 8 SEPT – Carlos Alcaraz menewaskan Jannik Sinner dalam empat set kelmarin untuk memenangi Terbuka AS dan mengembalikan penguasaannya dalam saingan sengit tenis masa kini.

    Alcaraz yang berusia 22 tahun menang 6-2, 3-6, 6-1, 6-4 untuk merangkul mahkota buat kali kedua Terbuka AS dan juga kejuaraan Grand Slam keenam, membalas kekalahan tunggalnya dalam perlawanan akhir ditumpaskan Sinner di Wimbledon Julai lalu.

    “Ia satu perasaan yang hebat. Saya bekerja keras hanya untuk menjulang trofi ini. Ini yang kedua saya tetapi ia masih seperti impian yang menjadi kenyataan,” kata Alcaraz.

    Alcaraz akan merampas semula ranking nombor satu dunia daripada Sinner, kembali ke tempat teratas buat pertama kali sejak September 2023 selepas menamatkan rentetan 27 kemenangan pemain Itali itu di Grand Slam gelanggang keras.

    “Ia adalah antara matlamat pertama saya, untuk memulihkan (kedudukan) nombor satu,” kata Alcaraz, yang turut menewaskan Sinner dalam perlawanan akhir Terbuka Perancis yang epik pada Jun.

    “Saya (telah) cuba yang terbaik hari ini. Saya tidak boleh berbuat lebih banyak,” kata Sinner. “Saya rasa dia melakukan segala-galanya dengan lebih baik hari ini. Dia meningkatkan tahapnya apabila dia terpaksa. Dia bermain lebih baik daripada saya hari ini.”

    Alcaraz dan Sinner telah berkongsi lapan Grand Slam terakhir, memenangi empat setiap satu untuk menunjukkan keunggulan mereka dalam sukan tenis termasuk Novak Djokovic. – AFP

    Carlos Alcaraz dan Jannik Sinner bergambar dengan trofi mereka selepas perlawanan tenis akhir perseorangan lelaki tenis Terbuka AS di Pusat Tenis Kebangsaan USTA Billie Jean King di New York City kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda