ABU DHABI, 19 DIS – Pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz yakin dia akan kembali cergas untuk bersaing dalam Terbuka Australia pada bulan depan, walaupun kecederaan yang dialaminya telah memendekkan tempoh masa latihannya.
Pemain berusia 19 tahun dari Sepanyol itu telah pulih daripada kecederaan otot pada abdomen sebelah kirinya yang menyebabkan dia terpaksa menarik diri daripada final ATP dan final Piala Davis pada penghujung kempennya dan hanya mula berlatih pada minggu lepas.
Dua kekalahan kepada Andrey Rublev dan Casper Ruud dalam Kejohanan Tenis Dunia Mubadala di Abu Dhabi pada hujung minggu lepas telah membantu Alcaraz untuk menguji tahap kecergasannya dan dia percaya dia mempunyai masa yang cukup untuk berlatih dan bermain pada tahap yang terbaik sebelum Grand Slam 2023 yang pertama pada 16 Januari depan.
“Saya mahu katakan, kuncinya adalah berlatih dengan banyak, luangkan masa yang panjang di dalam gelanggang. Dengan cara itu, awda akan mencapai tahap terbaik dan bersedia untuk musim tersebut,” kata penyandang juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) kepada wartawan di ibu negara UAE.
“Saya mempunyai sebulan sebelum Terbuka Australia, jadi saya mempunyai masa untuk terus berlatih, cuba untuk mencapai tahap saya, dan saya boleh jamin yang saya akan 100 peratus bersedia sebelum pergi ke Australia.”

Pemuda Sepanyol itu, yang merupakan pemain nombor satu dunia paling muda dalam sejarah ATP, tidak akan bertanding dalam mana-mana kejohanan rasmi sebelum Terbuka Australia, namun akan menyertai perlawanan persahabatan di Kelab Tenis Kooyong Lawn di Melbourne dari 10 hingga 12 Januari depan.
Alcaraz sedar bahawa 2023 akan datang bersama pengalaman baharu untuknya memandangkan dia sekarang ialah juara Grand Slam dan berada di ranking teratas.
“Saya perlu bersedia untuk itu (tekanan). Penonton, serta pemain, semuanya akan memandang saya dan saya perlu bersedia untuknya,” katanya.
Namun dia juga percaya bahawa dia yang baru pulih daripada kecederaan dan tidak mempunyai banyak masa untuk berlatih telah sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepadanya sebelum datang ke Australia.
“Mungkin ia sedikit sebanyak akan membantu saya untuk tidak memikirkan mengenai orang lain, jangkaan mereka, dan ranking, dan perkara-perkara seperti itu,” katanya.
“Saya hanya akan cuba memaksa diri saya mencapai ke tahap yang lebih tinggi. Jangkaan, ranking dan kejohanan adalah perkara yang lain.
“Buat masa ini, saya hanya mahu tumpukan perhatian kepada diri saya, mendapatkan kembali tahap permainan saya dan saya boleh menyatakan sedikit demi sedikit saya sudah pulih.” – AFP








