KUALA LUMPUR, 6 SEPT – Anak kelahiran Sabah, Alesyah Asa (gambar), 20, dinobatkan sebagai 10 finalis terbaik bagi Chegg.org Global Student Prize 2022, anugerah yang menawarkan hadiah AS$100,000 (RM448,000) dan diberikan kepada pelajar yang mampu membawa impak dalam pembelajaran, kehidupan rakan sebaya serta masyarakat.
Pelajar Diploma Teknologi Pembinaan, Kolej Vokasional Keningau itu terpilih daripada lebih 7,000 pencalonan dan permohonan dari 150 negara selain merupakan satu-satunya pelajar Malaysia dalam senarai finalis anugerah itu.
Dalam kenyataan minggu lalu Chegg.Org memaklumkan Alesyah telah mengetuai beberapa inisiatif sekolahnya yang memfokus kepada pelajar vokasional dan pelajar berkeperluan khas.
“Sebagai seorang daripada beberapa pelajar perempuan yang mendaftar dalam kursusnya dengan misi untuk memberi inspirasi kepada wanita muncul cemerlang dalam bidang vokasional yang secara tradisinya didominasi lelaki, beliau telah mewakili jabatannya dalam beberapa pertandingan dan membimbing pelajar perempuan lain untuk melakukan perkara yang sama.
“Alesyah mengetuai projek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) di sekolahnya yang melatih rakan sebaya dan guru mengenai robotik, dron, percetakan tiga dimensi (3D) dan keusahawanan. Projek itu menjadi penerima pertama Geran STEAM berjumlah AS$1,000 daripada Yayasan Awesomen yang berpusat di Amerika Syarikat (AS),” menurut kenyataan itu. – Bernama