Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alex Marquez juara MotoGP Catalunya

    MONTMELO, SEPANYOL, 7 SEPT – Alex Marquez menamatkan rentetan tujuh kemenangan berturut-turut abangnya, Marc Marquez, selepas muncul juara MotoGP Catalunya hari ini di hadapan penyokong sendiri.
     
    Kemenangan pelumba berusia 29 tahun itu di Litar Barcelona memastikan pendahulu keseluruhan Marc, yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua, tidak dapat mengesahkan kejuaraan dunia ketujuhnya pada hujung minggu depan di Misano.
     
    Marc yang menunggang Ducati kini mengumpul 487 mata keseluruhan, manakala Alex ketinggalan 182 mata di belakang.
     
    Sehari sebelumnya, Alex yang bermula dari petak pertama terpaksa akur selepas terbabas ketika mendahului perlumbaan sprint, memberi ruang kepada Marc untuk meraih kemenangan.
     
    Dalam perlumbaan utama, Marc berusia 32 tahun mendahului pada selekoh pertama dari petak ketiga, namun Alex bangkit semula pada pusingan keempat untuk merampas kembali kedudukan dan terus mengekalkan dominasi hingga ke garisan penamat.
     
    Alex mengawal perlumbaan dengan baik, menjarakkan diri 0.6 saat di hadapan abangnya. Semua pelumba menggunakan tayar sederhana pada kedua-dua bahagian kecuali Pedro Acosta yang memilih kombinasi sederhana dan lembut, sekali gus menyaksikannya ketinggalan 2.6 saat di belakang pelumba tempat ketiga, Enea Bastianini.
     
    Dua beradik Marquez jauh meninggalkan pesaing lain apabila Marc menamatkan perlumbaan lebih empat saat di hadapan Bastianini pada pusingan terakhir.
     
    Selepas perlumbaan, Alex dan Marc meraikan kejayaan bersama di depan peminat yang memenuhi Litar Barcelona di Montmelo. – AFP 
     
    Reaksi Alex Marquez (kanan) bergambar bersama Marc Marquez selepas perlumbaan MotoGP Catalonia di litar perlumbaan Catalunya di Montmelo, Sepanyol kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda