PARIS, 26 JULAI – Penunggang Sepanyol, Alex Rins, yang mengalami kecederaan kaki kanan di Grand Prix Itali pada awal Jun lalu, akan terlepas perlumbaan British pada 6 Ogos nanti.
Pasukan LCR Honda kelmarin mengumumkan bahawa dia akan digantikan oleh rakan senegaranya, Iker Lecuona.
Selepas terlepas perlumbaan di Jerman dan Belanda selepas kecederaan, penunggang berusia 27 tahun itu gagal pulih tepat pada masanya untuk perlumbaan di Silverstone.
Penunggang HRC, Iker Lecuona, 23, sebelum ini menggantikan rakan senegaranya, Joan Mir dalam pasukan Honda bagi GP Belanda pada 25 Jun lalu.
Ketika MotoGP kembali dari cuti musim panas, juara dunia semasa dari Itali, Francesco Bagnaia, mengumpul 35 mata di hadapan penunggang Sepanyol, Jorge Martin di tempat kedua.- AFP
