LIVERPOOL, 5 MEI – Trent Alexander-Arnold mengesahkan hari ini bahawa dia akan meninggalkan kelab zaman kanak-kanaknya, Liverpool, apabila kontraknya tamat hujung musim ini – satu keputusan yang disifatkannya sebagai ‘paling sukar dalam hidup’.
Pemain berusia 26 tahun itu, yang membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris 2024/2025 minggu lalu, dijangka menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid secara perpindahan percuma selepas kontraknya tamat pada penghujung Jun.
“Selepas 20 tahun di Liverpool, kini saya sahkan saya akan meninggalkan kelab ini,” katanya menerusi hantaran di platform X.
“Ini adalah keputusan paling sukar yang pernah saya buat dalam hidup saya.”
Liverpool menamatkan kemarau kejuaraan liga dengan kemenangan bergaya 5-1 ke atas Tottenham, sekali gus menyamai rekod 20 gelaran liga milik Manchester United.

“Ramai tertanya-tanya mengapa saya tidak beri kenyataan lebih awal, tetapi saya mahu fokus sepenuhnya untuk bantu pasukan capai kejuaraan ke-20,” tambahnya.
“Kelab ini adalah hidup saya selama 20 tahun. Dari akademi hinggalah ke peringkat tertinggi, sokongan dan kasih sayang yang saya terima tidak akan saya lupakan.”
Alexander-Arnold merupakan antara tiga pemain utama Liverpool yang kontraknya tamat musim ini, bersama Mohamed Salah dan Virgil van Dijk – kedua-duanya telah memperbaharui kontrak. Namun, Alexander-Arnold memilih untuk meninggalkan Anfield.
Sejak debut pada 2016, dia telah membuat 352 penampilan, menjaringkan 23 gol serta membantu kelab memenangi pelbagai kejuaraan termasuk Liga Juara-Juara UEFA, dua Liga Perdana dan Piala Dunia Kelab FIFA.
Kelab Liverpool merakamkan penghargaan kepada pemain yang menyertai akademi kelab seawal usia enam tahun itu.
“Trent akan meninggalkan kelab dan kami menghargai segala sumbangannya semasa era kejayaan kelab,” menurut kenyataan rasmi kelab.
Dalam ucapan perpisahannya, Trent menutup dengan kata-kata penuh emosi, “Saya sayangi setiap saat dan saya telah capai semua impian saya di sini.” – AFP