SINGAPURA, 28 FEB – Pemain kelahiran Australia, Alexei Popyrin kembali bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan pemain dari Kazakhstan, Alexander Bublik di Terbuka Singapura hari ini, sekali gus melakar kemenangan pertama Jelajah ATP.
Popyrin memulakan perlawanan dengan teruk, tewas dalam set pertama 4-6 tetapi kembali memberi saingan dan memenangi set kedua 6-0.
Bublik cuba bangkit pada permulaan set ketiga, dengan kedua-dua bertahan dengan pukulan servis mereka sehingga keputusan 2-2.
Tetapi perlawanan tersebut lebih memihak kepada Popyrin, membuat pukulan keseluruhan 11 ace, untuk menguasai set dengan keputusan 6-2 dan sekali gus merangkul kejuaraan.
Pemain berusia 21 tahun, yang sebelum ini mengejutkan bekas pemain nombor tiga dunia, Marin Cilic di pusingan separuh akhir, merasa gembira dengan kejayaan tersebut.
“Perasaan yang sukar dipercayai untuk mengetahui saya telah memenangi kejuaraan ATP pertama saya,” katanya.
“Saya selalu percaya bahawa saya mampu bersaing menentang pemain handalan dan tanpa keyakinan tersebut, saya mungkin tidak akan dapat memenangi kejuaraan ATP.
Permulaan yang baik dan berharap saya dapat meneruskan keputusan tersebut.
Dia menambah bahawa Bublik ‘dari segi mentaliti tidak begitu bersedia’ jadi saya hanya perlu mengekalkan tahap mentaliti dan cuba bermain dengan baik dalam set pertama.
“Saya tidak gentar – saya tahu saya bermain dengan baik.”
Dalam perlawanan beregu berpasukan akhir, gandingan mantap antara Sander Gille dan Joran Vliegen terbukti sukar digugat oleh pasangan dari Australia, Matthew Ebden dan John-Patrick Smith di mana pasangan dari Belgium mencatatkan keputusan menang mudah 6-2, 6-3. – AFP