BERLIN, 22 OGOS – Alga toksik telah ditemui dalam sampel dari sungai Oder, di mana sejumlah besar ikan mati telah mencetuskan kebimbangan tentang bencana alam sekitar, kata Poland dan Jerman hari ini.
Lebih 100 tan ikan mati telah ditemui sejak Julai dari sungai yang mengalir menerusi kedua-dua negara sejak Julai, mencetuskan ketegangan selepas Berlin menuduh Warsaw gagal mengendalikan bencana itu dan bertindak dengan pantas.
“Pemeriksaan yang dijalankan setakat ini telah mengesahkan kehadiran alga bertoksik (Prymnesium Parvum),” kata timbalan menteri alam sekitar Poland, Jacek Ozdoba dalam Twitter.
Sementara itu, jurucakap kementerian alam sekitar Jerman, Andreas Kuebler memberitahu pemberita ‘perkembangan besar-besaran alga air payau toksik boleh menyumbang kepada kematian ikan’.
Bagaimanapun, pembentukan alga sedemikian “bukan fenomena semula jadi semata-mata” dan “tidak berlaku setakat ini… dalam keadaan semula jadi,” tambah Kuebler, merujuk keputusan makmal terkini dari Institut Leibniz Jerman dan Universiti Vienna.
Alga itu berkemungkinan berkembang akibat paras garam yang tinggi di dalam air, yang “biasanya tidak akan wujud di Oder dan hanya boleh wujud melalui pelepasan industri,” katanya.
Perdana Menteri Poland Mateusz Morawiecki telah menyatakan sisa kimia mungkin punca kejadian itu tetapi Menteri Iklim dan Alam Sekitar, Anna Moskwa berkata minggu lalu bahawa ‘tiada sampel yang diuji setakat ini menunjukkan kehadiran bahan toksik’. – AFP