Wednesday, October 16, 2024
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alga bertoksin punca haiwan laut keracunan

    GAVIOTA – Denise Christ sering kali menemui hidupan liar yang cedera dalam kerjanya menyelamatkan mamalia laut yang terdampar atau terkandas di sepanjang pantai California.

    Tetapi dia terkejut dengan beratus-ratus singa laut dan ikan lumba-lumba yang ditemui di pantai dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mati atau hampir mati akibat keracunan neurotoksin.

    “Menyayat hati, setidak-tidaknya,” kata Christ, penyelaras haiwan yang terkandas untuk Institut Marin dan Hidupan Liar Kepulauan Channel (CIMWI) di daerah Ventura.

    Haiwan-haiwan itu telah jatuh sakit akibat asid domoik, neurotoksin yang dihasilkan oleh alga yang merupakan sumber makanan untuk ikan, yang kemudiannya dimakan oleh singa laut dan ikan lumba-lumba.

    Blum alga bukanlah sesuatu yang luar biasa pada tahun ini, tetapi krisis musim panas ini berlaku kurang setahun berbanding krisis yang sebelumnya, lantas mencemaskan dan membimbangkan pasukan CIMWI yang berpangkalan kira-kira 190 kilometer di utara Los Angeles.

    Sukarelawan memeriksa singa laut di dalam kurungan yang disediakan oleh CIMWI baru-baru ini. – Gambar AFP
    Seekor singa laut meminum air di CIMWI di Gaviota, California pada 9 Julai. – Gambar AFP
    Christ menunjukkan luka pada singa laut yang diselamatkan untuk dirawat di CIMWI pada 9 Julai. – Gambar AFP
    Singa laut dalam pemulihan melihat keluar dari kurungan di CIMWI di Gaviota, California, pada 9 Julai. – Gambar AFP
    Christ (kiri), memberikan vaksin antibiotik, sementara Hughes (tengah) dan sukarelawan Joe Kolda memegang singa laut yang diselamatkan di CIMWI di Gaviota, California, baru-baru ini. – Gambar AFP
    Seorang pengunjung pantai berjalan melepasi seekor singa laut yang terdampar di Pantai Santa Monica di Santa Monica, California, pada 16 Julai. – Gambar AFP

    “Kami telah mengalami blum yang cukup hebat pada musim panas yang lalu tetapi tahun ini jauh lebih teruk daripada apa yang pernah kami lihat dalam tempoh 35 tahun saya mengamalkan perubatan mamalia laut,” kata Sam Dover, pengarah eksekutif dan pengasas bersama CIMWI.

    Tambah Ken Hughes, rakan sekerja Christ di daerah Santa Barbara yang berdekatan: “Kami mendapati lebih 300 ekor singa laut di pantai. Dan lebih 150 ekor ikan lumba-lumba yang turut terjejas olehnya. Ia amat menyedihkan.”

    ‘Realiti baharu’ perubahan iklim

    Tiada penjelasan rasmi mengenai wabak itu, tetapi pakar mempunyai beberapa teori.

    Blum alga terjadi disebabkan oleh air lebihan pertanian, dan tahun ini California mengalami hujan yang lebih lebat daripada biasa.

    “Jadi terdapat lebih banyak air lebihan dari seluruh negeri, bukan hanya dari kawasan tempatan,” kata Dover.

    Pakar-pakar lain dari institut itu berkata bahawa pemanasan lautan akibat perubahan iklim mendorong pertumbuhan alga.

    “Saya percaya ini adalah realiti baharu dan keadaan sedang berubah. Lautan sedang berubah,” kata Christ.

    Apabila singa laut memakan toksin tersebut, ia mengalami kesan neurologi yang termasuk disorientasi, mulut berbuih, kepala terhuyung-hayang dan sawan.

    “Ia pada dasarnya tidak tahu bahawa dirinya adalah singa laut. Ia tidak tahu di mana ia berada atau apa yang ia lakukan,” jelas Hughes.

    Haiwan-haiwan itu akan menuju ke pantai, di mana ia merayau secara tidak menentu, menarik perhatian pengunjung pantai.

    Dover berkata wabak asid domoik tahun lalu berlaku pada pertengahan Ogos, tetapi tahun ini kumpulannya mula menerima panggilan yang melaporkan haiwan yang terjejas pada akhir Mei.

    “Kami mula menerima seekor haiwan sehari. Jadi kami tahu ini akan berlaku,” katanya.

    “Dan kemudian pada 8 Jun, keadaan betul-betul mula menjadi semakin serius dan haiwan laut mula muncul di mana-mana,” kata Dover.

    “Ini pasti kejadian yang paling teruk yang pernah kami lihat.”

    CIMWI menyelamatkan kira-kira 300 haiwan tahun lepas – tahun ini mereka mendapat lebih daripada 300 panggilan setiap hari.

    Lebih 100 ikan lumba-lumba mati

    Satu lagi ciri luar biasa wabak tahun ini ialah ikan lumba-lumba jatuh sakit dan mati disebabkan toksin berkenaan, dengan Dover mengira lebih daripada 110 ekor
    mamalia tersebut mati dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Tiada ubat untuk keracunan asid domoik, jadi satu-satunya cara untuk merawat haiwan-haiwan itu adalah dengan minuman, makanan, ubat anti-sawan dan kesabaran, kata pakar.

    Haiwan-haiwan yang lebih muda mempunyai peluang yang lebih baik untuk terus hidup kerana ia makan kurang ikan berbanding haiwan dewasa, dan dengan itu mengambil kuantiti toksin yang lebih sedikit.

    “Kumpulan haiwan inilah yang kami berusaha keras menyelamatkan sekarang dan kami mempunyai beberapa kejayaan yang cukup baik dalam membuang toksin dari sistem badannya,” kata Dover, ketika sukarelawan menyediakan kurungan yang luas di mana singa laut yang diselamatkan makan ikan, berenang dalam kolam dan tidur siang.

    Merawat, menyediakan tempat tinggal dan memberi makan haiwan-haiwan yang sakit memerlukan banyak sumber, dan CIMWI terus bertahan melalui gabungan geran kerajaan, derma dan kerja sukarelawan.

    “Pada asasnya, setiap hari adalah satu pertempuran dengan haiwan-haiwan dan dengan kewangan kami,” kata Dover. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda