SYDNEY, 15 MEI – Pembiakan besar-besaran alga toksik sedang membunuh lebih 200 spesies hidupan marin di pesisir selatan Australia, menurut para saintis dan kumpulan pemuliharaan.
Alga tersebut Karenia mikimotoi mula dikesan di perairan sekitar negeri Australia Selatan sejak Mac lalu, menyebabkan kematian besar-besaran spesies seperti jerung, pari-pari, ketam dan sotong.
“Terdapat banyak bangkai bertaburan di pantai,” kata Brad Martin, pengurus kumpulan pemuliharaan ikan bukan berasaskan keuntungan, Ozfish.
“Para sukarelawan kami sering berkata, “Kami berjalan sejauh satu kilometer di sepanjang pantai dan menemui 100 bangkai pari-pari serta hidupan laut lain’,” katanya kepada AFP.
Pantai-pantai di kawasan tumpuan pelancongan kaya hidupan liar seperti Pulau Kangaroo, Semenanjung Yorke dan Semenanjung Fleurieu turut terjejas.

Menurut Martin, kawasan pembiakan alga itu kini meliputi 4,400 kilometer persegi lebih besar daripada negara Jepun atau Jerman.
Karenia mikimotoi telah dikesan di seluruh dunia sejak 1930an, termasuk di perairan Jepun, Norway, Amerika Syarikat dan China, di mana ia mengganggu sektor pelancongan dan perikanan tempatan serta menyebabkan kerugian berjuta-juta dolar.
Namun, Martin berkata Australia Selatan tidak pernah mengalami pembiakan alga toksik sebesar atau selama ini.
Kerajaan Australia Selatan menyatakan kejadian tersebut dipercayai didorong oleh gelombang haba laut serta keadaan laut yang agak tenang.
Ahli biologi marin, Shauna Murray yang mengenal pasti spesies alga berkenaan untuk pihak berkuasa berkata, ia merosakkan insang ikan dan menghalang proses pernafasan.
“Ia bukan sesuatu yang menyenangkan,” kata Murray dari Universiti Teknologi Sydney.
“Kemungkinan akan mengambil masa sebelum ekosistem dapat pulih sepenuhnya.”
Walaupun keadaan kebiasaannya mula reda menjelang akhir April, namun tiada tanda kelegaan setakat ini, kata Menteri Alam Sekitar Australia Selatan, Susan Close bulan ini.
“Kita perlukan perubahan cuaca yang besar untuk memecahkan fenomena ini tiada apa yang boleh kita lakukan untuk mempercepatkannya,” katanya kepada penyiar nasional ABC. – AFP