Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alga toksik ancam tasik Lough Neagh

    BALLYRONAN – Untuk tahun ketiga berturut-turut, alga hijau-biru toksik tumbuh meliputi sebahagian besar Lough Neagh, tasik terbesar di United Kingdom dan Ireland.

    Tetapi pada musim panas ini, lapisan alga hijau tebal itu berkembang sehingga dapat dilihat dari udara dan menjadi lebih teruk berbanding sebelum ini, menurut penduduk tempatan yang tinggal berhampiran mercu tanda Ireland Utara.

    “Tasik itu semakin terjejas,” kata Mary O’Hagan, seorang perenang air terbuka, kepada AFP di Ballyronan, di pantai baratnya, ketika itik bergelut di atas batu licin dilitupi alga hijau.

    Pertumbuhan alga yang didorong oleh pencemaran perindustrian, pertanian dan kumbahan serta perubahan iklim, menurut pakar telah menjejaskan perikanan dan sukan air, serta menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan air minuman.

    Papan tanda larangan mandi banyak dipasang di pinggir pantai tasik sepanjang 126 kilometer (km), termasuk di Ballyronan, 54km di barat ibu kota Ireland Utara Belfast.

    Gambar menunjukkan alga hijau-biru di Battery Harbour di pantai Lough Neagh, di Ireland Utara. – AFP
    Burung sedang makan di pantai Lough Neagh yang dilitupi alga hijau-biru, di Ireland Utara. – AFP
    Orang ramai memberi makan itik dan burung camar di pantai tertutup alga hijau-biru di Lough Neagh, di Ireland Utara. – AFP
    Knox menjalankan perniagaan papan dayung tetapi telah ditutup kerana serangan alga hijau-biru di perairan Lough Neagh di Ireland Utara. – AFP
    Alga hijau-biru melitupi batu di pantai Lough Neagh, di Ireland Utara. – AFP

    Baja yang kaya dengan nutrien dan sisa dari ladang yang membekalkan firma besar seperti pemproses ayam Moy Park dipersalahkan kerana menyumbang kepada pencemaran.

    Aliran kumbahan yang tidak dirawat dan sisa buangan tangki septik juga disyaki menyumbang kepada pencemaran.

    Moy Park menafikan pencemaran tasik dan berkata sektor ternakan ayam dikawal dengan ketat bagi kualiti air sisa di semua tapak tempatannya.

    “Pertumbuhan alga adalah isu kompleks yang tidak dikaitkan secara khusus dengan mana-mana sektor,” kata seorang jurucakap kepada AFP.

    AMAT MENYEDIHKAN

    Lough Neagh adalah ‘pusat latihan’ O’Hagan semasa tahun-tahun COVID, tetapi dia tidak pernah memasukkan jari kaki ke dalam air sejak itu.

    Lelaki berusia 48 tahun itu berkata kepada AFP bahawa dia mengalami masalah kesihatan kronik dan berenang adalah satu-satunya senamannya. Kini dia mesti bergantung pada kolam renang tempatan.

    “Berenang di sini dengan matahari terbit membantu saya ketika saya berada di tempat yang paling teruk dalam hidup saya. Sungguh sedih melihatnya sekarang,” katanya ketika ombak berwarna hijau menghempas darat.

    O’Hagan telah menyertai kumpulan kempen Save Lough Neagh, dan semasa protes baru-baru ini menggesa kerajaan wilayah Ireland Utara bertindak lebih pantas.

    “Bebaskan pencemaran!” katanya, sambil menyeru untuk mewujudkan agensi alam sekitar bebas yang mampu menghukum ladang kilang dan syarikat gergasi agrimakanan yang bertanggungjawab ke atas pencemaran.

    Spesies kupang zebra invasif, yang baru-baru ini muncul di perairan tasik, menapis air tetapi risikonya adalah lebih besar jika dibandingkan dengan moluska yang juga merangsang fotosintesis alga, justeru memburukkan lagi kesan air hijau.

    Sementara itu, alga telah memusnahkan lalat Lough Neagh, makanan harian untuk ikan dan burung, kata nelayan tempatan, Mick Hagan kepada AFP.

    “Dulu tasik ini dipenuhi ikan trout, tetapi tidak lagi,” kata lelaki berusia 38 tahun itu yang kembali ke tanah kering tanpa hasil tangkapan.

    Industri perikanan belut terbesar di Eropah, juga terletak di tasik itu telah menghentikan operasi tahun ini disebabkan isu kualiti.

    Hagan adalah generasi pertama dalam keluarganya yang tidak memancing belut di Lough Neagh.

    Kini dia mengendalikan trak piza di tapak campervan berhampiran Ballyronan, tetapi bau busuk yang kuat dari lough mendorong kebanyakan pelancong menjauhkan diri pada musim panas ini.

    ENAPCEMAR

    Menurut Gavin Knox, per-niagaan kecil papan dayungnya turut menjadi mangsa pencemaran, bau busuk itu boleh mencecah beberapa kilometer ke pedalaman.

    Lelaki berusia 48 tahun itu memulakan perniagaannya pada 2022 untuk membantu orang ramai berseronok di atas air dengan selamat.

    Bekerja dengan orang kelainan upaya pembelajaran dan kecederaan otak termasuk keluarga, Knox berkata tempahan secara beransur-ansur berkurangan selepas alga muncul.

    “Menjalankan perniagaan menjadi sukar,” katanya kepada AFP. “Walaupun terdapat tempat yang selamat untuk mendayung, tiada siapa yang mahu melakukannya apabila ikan mati dan burung diliputi lendir hijau,” tambahnya.

    Terpaksa membayar balik pinjaman permulaan yang besar, dia marah kerana tiada pampasan pernah ditawarkan oleh kerajaan kepada perniagaan kecil yang terjejas.

    “Adalah tidak adil bahawa orang yang terjejas tidak diberi respons dengan cara yang baik,” kata Knox.

    Kerajaan wilayah pada Julai lalu melancarkan pelan tindakan untuk memulakan pembaikan.
    Namun kurang daripada separuh tindakan yang dirancang telah disampaikan.

    Tindakan selebihnya mengambil masa sehingga 2026 dan seterusnya,” kata satu kenyataan kerajaan yang dihantar kepada AFP. Ia tidak memberikan butiran lanjut.

    Dengan kira-kira 40 peratus air minuman Ireland Utara dibekalkan oleh Lough Neagh, risiko kecemasan kesihatan mungkin memaksa pihak berkuasa bertindak lebih pantas, kata Les Gornall, pakar mendapan tempatan yang dikenali dengan gelaran ‘Doctor Sludge.’

    “Jika Belfast tiba-tiba tidak dapat menjamin bekalan air bersih, maka harta benda dan pelancongan akan terjejas,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda