Wednesday, July 23, 2025
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alga toksik bunuh ratusan spesies marin, jejas perikanan

    SYDNEY, 22 JULAI – Pertumbuhan alga toksik yang meluas telah menimbulkan kebimbangan yang semakin meningkat di Australia apabila ia berkembang di luar pantai selatan, membunuh beratus-ratus spesies marin dan menjejaskan perikanan.

    Perdana Menteri, Anthony Albanese menggunakan dana persekutuan minggu ini untuk menangani alga Karenia mikimotoi apabila ia semakin berkembang empat bulan selepas pertama kali muncul.

    Kerajaan Australia Selatan berkata ia sedang mengadakan mesyuarat tergempar hari ini yang akan dihadiri oleh para saintis mengenai fenomena itu.

    Alga itu, yang merosakkan insang ikan dan membunuhnya, merentasi kira-kira 4,400 kilometer persegi ketika ia mula dikesan pada pertengahan Mac, menurut kerajaan negeri.

    Walaupun pihak berkuasa Australia Selatan berharap alga itu akan musnah, tetapi ia sebaliknya merebak ke seluruh wilayah, kata kemas kini kerajaan terkini.

    Gelombang haba marin di kawasan itu telah berkurang katanya, tetapi kekal di beberapa buah perairan yang lebih dalam.

    Pantai dengan tarikan pelancong yang kaya dengan hidupan liar seperti Pulau Kangaroo, Semenanjung Yorke dan Semenanjung Fleurieu telah dipenuhi dengan bangkai jerung, pari, ketam dan sotong.

    “Sukar untuk mengatakan tahap keseriusan krisis alam sekitar pertumbuhan alga di Australia Selatan,” kata ahli ekologi marin dari Universiti New South Wales, Adriana Verges. – AFP

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda