ALGIERS, 15 SEPT – Presiden Algeria kelmarin telah mengumumkan pembentukan kerajaan baharu di bawah pimpinan Sifi Ghrieb, yang dilantik sebagai perdana menteri tetap iaitu pada hari yang sama selepas memegang jawatan tersebut secara sementara.
Ghrieb pada mulanya dilantik sebagai pemangku perdana menteri selepas Nadir Larbaoui digugurkan oleh Presiden Abdelmadjid Tebboune pada 28 Ogos lalu tanpa sebarang sebab.
Kelmarin, pejabat Tebboune turut memaklumkan, Ghrieb akan mengambil alih jawatan itu secara tetap, sebelum kemudian mengesahkan beliau telah membentuk kerajaan baharu atas permintaan presiden.
“Presiden republik hari ini memberi penghormatan kepada saya dengan melantik saya sebagai perdana menteri dan mempercayakan saya untuk membentuk kerajaan baharu,” kata Ghrieb dalam satu rakaman video ringkas, sambil menambah beliau telah diarahkan “untuk mengutamakan khidmat kepada rakyat Algeria dan memajukan ekonomi negara.”
Menurut kenyataan presiden, jawatan bagi ketua portfolio hal ehwal luar dan keadilan, Ahmed Attaf dan Lotfi Boudjemaa kekal tidak berubah, manakala Tebboune sendiri akan terus mengetuai kementerian pertahanan.
Di samping itu, Menteri pengangkutan, Said Sayoud turut mengekalkan jawatannya, sekali gus mengambil alih sebagai menteri dalam negeri, manakala bekas menteri dalam negeri, Brahim Merad dilantik sebagai menteri negara yang bertanggungjawab ke atas perkhidmatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.
Portfolio tenaga dipecahkan kepada dua, iaitu hidrokarbon yang diterajui oleh Mohamed Arkab dan tenaga boleh diperbaharui yang akan diketuai oleh Mourad Adjal.
Profesor kardiologi, Mohamed Esseddik Ait Messaoudene, pula akan mengambil alih sebagai menteri di kementerian kesihatan negara tersebut. – AFP


