KAHERAH, 28 JUN – Riyad Mahrez dan Algeria melaungkan amaran kepada pencabar kejuaraan Piala Negara Afrika dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas pasukan pilihan Senegal di Kaherah, awal pagi tadi.
Bintang Liverpool itu bergelut untuk menyerlah sekembalinya daripada penggantungan perlawanan ketika Youcef Belaili merembat masuk gol kemenangan pada minit ke-49 bagi menjamin kemaraan Algeria ke pusingan 16 terakhir.
Hampir sedekad sejak Algeria kali terakhir melakukan impak pada kejohanan itu dengan layak ke separuh akhir edisi 2010 dan persembahan itu menjanjikan sesuatu yang hebat daripada pasukan utara Afrika itu di depan penyokong di Stadium 30 Jun.
“Kami tidak boleh katakan kami kelihatan seperti pasukan juara. Mengalahkan Senegal bukan satu perkara mudah untuk dilakukan dan tidak banyak pasukan mampu melakukannya tetapi ia tidak bermakna semuanya sudah selesai,” kata jurulatih Algeria, Djamel Belmadi. “Ia hanya perlawanan kedua kumpulan. Memang benar kami menentang pasukan yang amat kuat tetapi ia hanya aksi peringkat kumpulan.”
Senegal, yang memburu kejuaraan benua buat julung kali, masih dijangka menyertai Algeria ke pusingan kalah mati apabila mereka melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang Kenya pada 1 Julai ini.
“Sudah tentu Sadio Mane boleh bertindak lebih baik. Ada banyak kesilapan teknikal dalam permainan kami,” kata bos Senegal, Aliou Cisse.
“Dia kurang menyerlah tetapi saya tidak bimbang. Satu pasukan perlu meningkatkan tahap permainan,” tambah Cisse lagi. – AFP
