Wednesday, March 12, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Algeria rancang import 1 juta kambing sempena Aidiladha

    ALGERIA, 11 MAC – Algeria merancang untuk mengimport 1 juta kambing biri-biri bagi sambutan Aidiladha bagi menstabilkan harga serta memenuhi permintaan tinggi menjelang hari raya korban.

    Presiden Abdelmadjid Tebboune pada Ahad lalu mengarahkan menterinya untuk melaksanakan langkah besar itu, yang merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan bagi meredakan keresahan rakyat terhadap peningkatan kos sara hidup.

    Langkah tersebut menyusuli inisiatif terdahulu untuk memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang Ramadan. Bagaimanapun, skala import kali ini jauh lebih besar berbanding sebelum ini.

    Afrika Utara kini mengalami kemarau paling teruk dalam tujuh tahun berturut-turut, dengan suhu ekstrem serta taburan hujan di bawah purata. Harga makanan ternakan meningkat, menyebabkan penternak di kawasan tanah tinggi utara Algeria berdepan kesukaran membekalkan kambing tempatan yang terkenal dengan kualiti tinggi.

    Kerajaan Algeria sebelum ini telah memainkan peranan penting dalam menstabilkan pasaran ternakan, termasuk mengimport kambing dalam jumlah kecil bagi memastikan golongan berpendapatan rendah mampu memiliki haiwan korban. – AP

    Gambar fail menunjukkan kambing biri-biri dijual di daerah utara Algiers bagi Hari Raya Aidiladha pada 8 Jun lalu. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda