Selepas hampir enam bulan hidup bersama, usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa mengesahkan sudah menceraikan isteri, Datin Noor Azlin Ismail.
Membuat pengakuan di Facebook (FB) dan Instagram (IG), Alha atau nama penuh, Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil menjelaskan, beliau melepaskan Azlin sebagai langkah terbaik menangani kemelut rumah tangga mereka.
“Saya cuba sembunyikan perkara ini, hari ini, ada hamba Allah yang menulis dan menyebarkan berita ini.
“Mungkin juga ini salah satu jalan Allah ingin membuka ruang dan jalan untuk kami. Saya seboleh-bolehnya ingin berdiam diri dan tak nak membesarkan hal ini supaya aib kami terjaga.
“Tapi mungkin juga ini ujian berat dalam hidup saya,” katanya sambil menambah sudah meminta izin bekas isteri-nya untuk memuat naik entri berkenaan.

Bagaimanapun, pada entri itu, Alha tidak menyatakan tarikh perceraian mereka.
Alha, 32, menikahi Azlin di Taiping, Perak pada 28 September lalu.
Alha berkata, beliau dan bekas isteri sepakat menamatkan perkahwinan secara damai dan berharap tiada pihak yang akan mengeruhkan keadaan.
“Saya amat berterima kasih kepada bekas isteri yang membahagiakan saya selama setengah tahun bersama.
“Mungkin beliau masih muda dan impikan hidup bersama, sedangkan pekerjaan ini dan masa saya sangat terhad. Saya berkahwin ketika perniagaan sedang naik. Banyak masa dan keringat saya kumpul keselesaan pada masa tua nanti bersamanya, terhenti di sini.
“Mungkin terlalu banyak penggambaran, kerja luar dan lain-lain lagi membuatkan beliau (Azlin) tidak boleh terima kerjaya saya.
“Benda ini akan menjadi perselisihan faham apabila saya hendak pergi kerja. Saya risau nak keluar rumah untuk bekerja… Saya hampir hilang diri saya,” katanya.
Alha berkata, bekas isteri mungkin boleh menerima pekerjaan, kehidupan dan pangkat beliau (Alha) sebelum berkahwin.
“Tetapi apabila hidup bersama, akan sentiasa rasa cemburu dan tidak puas hati. Sumpah, saya faham dan cuba meletakkan diri dalam keadaan beliau.
“Sapa saya untuk memaksa beliau memahami saya,” katanya.
Alha mendakwa, kehidupannya bersama Azlin normal dan mereka hampir pasti menjadi ibu bapa tetapi bekas isteri mengalami keguguran.
“Hari itu, saya dah hendak menjadi ayah tetapi keguguran… Mungkin belum ada rezeki.
“Tetapi apa yang pertahankan ini tidak panjang, saya tak nak beliau kemurungan dan ‘stress’ berpanjangan, ugut hendak mencederakan diri dan lain-lain,” katanya. –Agensi