BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Pasukan Bulu Tangkis Harmoni (PBT Harmoni) baru-baru ini menganjurkan perlawanan badminton dalam kalangan ahli pasukan, yang bermula pada awal September dan berakhir hari ini di Dewan Setenaga, Kampung Tanjong Nangka.
Seramai 17 pasangan beregu mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan, dengan gelaran juara diraih oleh Awang Ali Darwin Haji Bahrun dan Haji Harun Chuchu selepas menewaskan pasangan Awang Zaini Haji Puasa dan Haji Salim Haji Hussain.
Pertandingan itu dianjurkan bagi menggalakkan aktiviti sihat melalui sukan badminton, khususnya dalam kalangan pemain veteran pasukan berkenaan.
Hadiah-hadiah pertandingan telah disampaikan oleh Pengerusi PBT Harmoni, Haji Jofri bin Haji Sahat, manakala penaja rasmi hadiah ialah Spotech Marketing.
Kejayaan acara ini bukan sahaja menyerlahkan semangat kesukanan dalam kalangan ahli pasukan, malah mengeratkan hubungan silaturahim melalui sukan yang diminati ramai.


