KUALA LUMPUR, 7 APRIL – Penembak berpengalaman Malaysia, Alia Sazana Azahari tidak terkilan selepas rekod Asia dalam acara 25 meter (m) pistol wanita yang beliau cipta pada Kejohanan Rifle/Pistol Piala Asia 2025 di Bangkok, Februari lepas tidak diiktiraf sebagai rekod dunia.
Atlet berusia 33 tahun itu berkata keputusan Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) tidak mengiktiraf rekod tersebut, diterimanya dengan hati terbuka memandangkan kejohanan tersebut tidak disertai penembak profesional dari seluruh dunia.
“Ia dijustifikasikan kerana kita di Piala Asia yang hanya atlet Asia bertanding, jadi sebagai rekod dunia tidak sah kerana kita tidak bertanding dengan wakil negara lain di dunia.
“Saya terimanya dan faham akan perkara itu dengan baik, tetapi Alhamdulillah negara Asia memperakui rekod itu,” katanya ditemui baru-baru ini.
Sebelum ini, Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar (B) Jasni Shaari berkata persatuan tidak akan membuat sebarang rayuan kepada ISSF, untuk mengiktiraf rekod berkenaan sebagai rekod dunia. – Bernama
