BEIJING, 24 FEB – Syarikat gergasi teknologi China, Alibaba, mengumumkan hari ini bahawa ia akan membelanjakan lebih daripada AS$50 bilion untuk kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran awan dalam tempoh tiga tahun akan datang, seminggu selepas pengasas bersama Jack Ma bertemu dengan Presiden Xi Jinping.
Para pelabur semakin berminat dengan saham teknologi China sejak awal tahun ini, dengan Alibaba yang mengendalikan beberapa platform membeli-belah dalam talian terbesar di negara itu menyaksikan sahamnya melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun.
Kenaikan itu didorong selepas syarikat yang beribu pejabat di Hangzhou itu mengumumkan pertumbuhan jualan yang kukuh minggu lalu, menambah kepada tanda-tanda bahawa sektor itu sedang pulih selepas bertahun-tahun suram yang disebabkan oleh tindakan ketat kerajaan.
Alibaba merancang untuk “melabur sekurang-kurangnya 380 bilion yuan (AS$53 bilion) dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi memajukan infrastruktur pengkomputeran awan dan AI,” menurut kenyataan syarikat.
Syarikat itu menyatakan strategi mereka bertujuan untuk “mengukuhkan komitmen (Alibaba) terhadap inovasi teknologi jangka panjang dan menekankan tumpuan syarikat kepada pertumbuhan yang didorong oleh AI”. Kenyataan tersebut tidak memperincikan cara syarikat itu akan memperuntukkan dana atau projek tertentu yang akan disokong.
Namun, ia menambah bahawa pelaburan itu akan melebihi jumlah perbelanjaan AI dan pengkomputeran awan syarikat tersebut dalam tempoh sepuluh tahun terakhir.
Minggu lalu, Alibaba melaporkan peningkatan lapan peratus dalam hasil pendapatan untuk tiga bulan yang berakhir pada Disember, mengatasi anggaran untuk mencapai 280 bilion yuan, sekali gus mencetuskan lonjakan 14 peratus dalam saham Hong Kong pada Jumaat. – AFP
