Alibaba Cloud buka pusat data ketiga

JAKARTA, 6 JULAI – Gergasi teknologi China Alibaba merancang membuka pusat rangkaian datanya, Alibaba Cloud yang ketiga di Indonesia pada 2021 untuk memperluas kehadirannya di tengah-tengah peningkatan persaingan, lapor agensi berita Vietnam.

Alibaba Cloud, anak syarikat Alibaba, baru-baru ini berkata pusat itu akan meminimumkan risiko berkaitan kehilangan data dengan membahagikan beban kerja. Dua pusat sebelumnya dibina pada 2018 dan 2019.

Pengurus Kawasan Alibaba Cloud, Leon Chen berkata pusat tambahan itu sangat penting kerana banyak perniagaan, termasuk perusahaan tradisional seperti bank, mengalihkan infrastruktur teknologi maklumat (IT) mereka kepada pengkomputeran awan di tengah-tengah penularan wabak COVID-19.

Sebahagian bandar-bandar besar di Indonesia termasuk  Jakarta dikenakan sekatan pergerakan separa pada akhir April, menyebabkan peningkatan permin-taan untuk perkhidmatan digital termasuk e-dagang, kewangan, media dalam talian, pendidikan dan permainan video. Semua perkhidmatan ini pasaran menguntungkan untuk Alibaba.

Syarikat teknologi pesaing Google dan Amazon turut merancang untuk mengembangkan anak syarikat perkhidmatan Google Cloud di Indonesia.

Google Cloud membuka cawangan baharunya di Jakarta pada akhir Jun manakala Perkhidmatan Amazon Web pula bakal mewujudkan pusat datanya pada 2022. – Bernama