SINGAPURA, 30 Mei – Alibaba Cloud, cabang daripada Alibaba Group, memperkenalkan lebih daripada 10 produk dan ciri-ciri baharu hari ini.
Ma Jin, Pengurus Besar Pengurusan Produk dan Penyelesaian Alibaba Cloud berkata produk-produk itu akan berada di pasaran negara yang berbeza pada tarikh yang berbeza bergantung kepada permintaan.
“Produk-produk itu telah siap dan kami akan menghantarnya atas permintaan, negara demi negara kerana ia adalah teknologi,” katanya dalam satu temu bual secara berkumpulan di luar acara Sidang Kemuncak Alibaba Cloud, di sini, hari ini.
Antara produk tersebut ialah SaaS (perisian sebagai satu perkhidmatan) Accelerator yang boleh mempercepatkan masa-untuk-pasarkan produk yang boleh digunakan dalam perusahaan seperti e-dagang, industri penginapan dan perjalanan, serta ciri ‘bawa kunci anda sendiri’ — yang membolehkan pelanggan menyediakan kunci penyulitan mereka sendiri kepada akses awan mereka.
Syarikat itu juga memperkenalkan Alibaba Log Service yang secara automatik mengumpul log daripada semua perkhidmatan, serta Smart Access Gateway Software, aplikasi yang membolehkan peranti endpoint dihubungkan dengan selamat ke Alibaba Cloud dan pusat data di premis hanya dengan satu klik.
Sementara itu, penyedia ruang pejabat dikongsi, WeWork dijangka terus mengembangkan perniagaannya di China susulan kerjasama dengan Alibaba Cloud menerusi perkongsian gerbang Chinanya.
Naib Pengerusi WeWork Asia Christian Lee berkata perkongsian itu penting kerana ia akan meningkatkan perniagaannya di China menerusi tawaran holistik ruang pejabat syarikat itu, komuniti serta pengalaman kakitangan.
“Kami mahu membantu perniagaan yang baru sahaja memasuki pasaran China atau yang merancang untuk memasukinya tanpa perlu risaukan risiko ruang pejabat kerana ia adalah fleksibel ketika menjalankan perniagaan,” katanya.
Kerjasama, antara Alibaba Cloud, WeWork dan SoftBank Telecom China, akan menawarkan platform sehenti daripada penyelesaian teknologi berasaskan awan, perkhidmatan enterpris, ruang kerja fleksibel, acara serta perundingan perniagaan. – Bernama