Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alibaba lancar Taobao Store terbesar

    KUALA LUMPUR, 29 NOV – Alibaba Group hari ini melancarkan gedung fizikal Taobao  terbesarnya di Malaysia, secara kerjasama dengan MyTOWN Shopping Centre dan Lumahgo New Retail Sdn Bhd.

    Dinamakan sebagai Taobao Store oleh Lumahgo, gedung seluas 5,000 kaki persegi itu adalah menyeluruh, menawarkan pengalaman membeli belah luar talian dan juga dalam talian menggunakan teknologi ‘New Retail.’

    “Taobao Store akan menyediakan platform bagi kami untuk mempamerkan produk popular dan memperkenalkan produk baharu yang menarik perhatian pelanggan tempatan, dan kami berharap dapat menggunakan pandangan pelanggan dan teknologi untuk mewujudkan peluang baharu bagi rakan kongsi tempatan kami untuk menawarkan perkhidmatan yang malahan lebih baik lagi,” kata Pengurus Pemasaran Small World Malaysia Alibaba Jess Lew pada majlis pelancaran gedung itu, di sini, hari ini.

    Taobao Store menawarkan lebih 1,000 produk dalam kategori jualan laris seperti barangan elektronik, kecantikan, rumah dan perkakasan rumah pintar.

    Lew juga berkata pemilihan produk dibuat berdasarkan keutamaan dan trend pembelian pembeli tempatan menerusi aplikasi membeli belah Taobao, terdiri daripada jenama antarabangsa dan tempatan termasuk Lorenzo, Khind, KitchenAid dan Deep Furniture.

    “Tujuan pembukaan gedung ini adalah kami mahu pelanggan datang, merasai pengalaman dan mencuba sendiri produk terlebih dahulu. Keuntungan bukan objektif utama kerana kami menyasar menyediakan pengalaman membeli belah terbaik bagi pengguna,” katanya.

    Sementara itu, Lew berkata Alibaba bersedia untuk menimbang membuka gedung yang sama di negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor Bahru.

    “Kami juga menimbang kemungkinan menyediakan aplikasi Taobao dalam bahasa Inggeris bagi menarik lebih ramai pelanggan di Malaysia.

    Pelanggan boleh membeli produk yang dipamerkan dengan mengimbas kod QR pada tag harga elektronik, mengambil barangan dari gedung atau mengatur penghantaran dan malahan pemasangan, dan membuat pembayaran terus daripada aplikasi.  – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda