Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alibaba nafi dakwaan bantu tentera China sasar AS

    BEIJING, 16 NOV – Gergasi teknologi China, Alibaba, menafikan dakwaan bahawa ia membantu Beijing menyasarkan Amerika Syarikat (AS), sambil memberitahu AFP kelmarin bahawa laporan media baru-baru ini adalah ‘sepenuhnya palsu’.

    Akhbar Financial Times melaporkan awal Sabtu bahawa Alibaba “menyediakan sokongan teknologi untuk ‘operasi’ ketenteraan China terhadap sasaran AS”, menurut satu memo Rumah Putih yang diberikan kepada akhbar itu.

    Memo tersebut mendakwa Alibaba menyerahkan data pelanggan, termasuk “alamat IP, maklumat WiFi dan rekod pembayaran”, kepada pihak berkuasa China dan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA), menurut laporan itu.

    FT berkata ia tidak dapat mengesahkan dakwaan itu secara bebas, sambil menyatakan bahawa Rumah Putih percaya tindakan sedemikian mengancam keselamatan AS.

    Jurucakap Alibaba Group memberitahu AFP bahawa “tuduhan dan unsur serkap jarang dalam artikel tersebut adalah sama sekali tidak benar”.

    Firma yang berpusat di Hangzhou itu menyifatkan memo berkenaan sebagai “operasi publisiti jahat yang jelas datang daripada pihak tertentu yang mahu menjejaskan perjanjian perdagangan Presiden Trump baru-baru ini dengan China”.

    Pertikaian itu menyerlahkan rasa curiga berterusan antara Beijing dan Washington, yang kekal bersaing untuk keunggulan teknologi.

    Sejak kembali ke pejabat pada Januari, Presiden AS Donald Trump telah menghidupkan semula perang perdagangan sengit dengan China.

    Selepas berbulan-bulan saling mengenakan tarif, beliau dan rakan sejawatnya, Xi Jinping, mencapai gencatan selama setahun pada akhir bulan lalu.

    Jurucakap kedutaan China di AS turut menafikan dakwaan dalam memo tersebut.

    “Kerajaan China… tidak akan sesekali mengarahkan syarikat atau individu untuk mengumpul atau memberikan data yang terletak di negara asing secara melanggar undang-undang tempatan,” kata Liu Pengyu dalam satu kenyataan di platform X.

    Laporan itu menambah kepada kebimbangan yang semakin meningkat di Washington mengenai potensi penggunaan teknologi canggih oleh China untuk tujuan pengintipan. – AFP

    Jack Ma (baris ketiga di tengah) mendengar sesi Mesyuarat Perhimpunan Agung PBB di New York, Amerika Syarikat, pada 19 September 2017. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda