BEIJING, 20 JUN – Gergasi teknologi China, Alibaba, berkata hari ini bahawa ia akan menggantikan ketua tertinggi mereka dalam satu langkah mengejut di syarikat e-dagang tersebut, dengan harapan untuk pulih daripada beberapa tahun pertumbuhan yang lembap disebabkan oleh belanjawan pengguna yang lemah dan tindakan keras kawal selia.
Langkah itu dibuat ketika peneraju pasaran itu bersedia untuk menjalani rombakan semula asas operasi perniagaannya yang luas, termasuk pengkomputeran awan, e-dagang, logistik, media dan hiburan serta kecerdasan buatan.
Dalam rombakan tersebut, Joseph Tsai akan berkhidmat sebagai pengerusi dan Eddie Wu sebagai Ketua Pegawai Eksekutif menggantikan Daniel Zhang, yang memegang kedua-dua jawatan itu. Kedua-dua pelantikan itu akan berkuat kuasa pada 10 September ini.
Zhang dalam satu kenyataan berkata ia merupakan masa yang sesuai baginya untuk mengundurkan diri kerana Alibaba sedang merancang untuk melaksanakan perpecahan penuh unit pengkomputeran awan yang canggih.
Pengarah itu telah memainkan peranan penting dalam kejayaan syarikat beberapa dekad yang lalu, menerajui festival membeli-belah Single’s Day yang kini sangat popular sejak edisi pertamanya pada 2009.
Selepas peralihan, Zhang akan terus berkhidmat sebagai pengerusi dan Ke-tua Pegawai Eksekutif Alibaba Cloud Intelligence Group, kata syarikat itu.
Alibaba mengalami masa sukar ketika Beijing mengenakan sekatan yang lebih ketat terhadap sektor teknologi domestik, manakala perbelanjaan pengguna yang lemah menyaksikan ia mencatatkan pertumbuhan pendapatan satu digit suku ketiga berturut-turut awal tahun ini.
Dan dalam satu pengumuman yang mengejutkan, Alibaba berkata pada akhir Mac bahawa ia akan berpecah kepada enam kumpulan perniagaan, salah satu rombakan paling ketara bagi firma teknologi terkemuka China setakat ini. – AFP


