BEIJING, 31 JAN – Syarikat teknologi dan e-dagang gergasi dari China, Alibaba, pada Rabu mengumumkan pelancaran Qwen2.5-Max, model kecerdasan buatan (AI) canggih yang dikatakan mampu mengatasi prestasi beberapa sistem AI terkemuka berdasarkan penanda aras utama.
Pelancaran model baharu itu adalah berikutan syarikat permulaan China, DeepSeek, melancarkan beberapa model AI yang mengejutkan Lembah Silikon dan mencabar dominasi Amerika Syarikat (AS) dalam sektor AI yang pesat berkembang.
Kehadiran model-model berturut-turut dari China dijangka meningkatkan kebimbangan di AS, memandangkan syarikat-syarikat negara itu telah melabur berbilion dolar dalam pembangunan AI, yang kini mampu disaingi oleh syarikat permulaan dari China pada kos yang jauh lebih rendah.
Menurut satu hantaran blog oleh pasukan Qwen, model Qwen2.5-Max menunjukkan prestasi lebih baik daripada DeepSeek V3 dalam beberapa ujian, termasuk penjanaan kod dan keupayaan am. Model itu juga mencatat keputusan yang kompetitif berbanding pemimpin industri seperti GPT-4 milik OpenAI dan Claude-3.5-Sonnet milik Anthropic.
Model itu dilatih menggunakan lebih 20 trilion token data. Namun, ia tidak dibandingkan dengan model R1 milik DeepSeek, iaitu model AI yang menumpukan pada penaakulan dan mencipta perhatian besar ketika dilancarkan sebagai chatbot pada 20 Januari lepas.
Qwen2.5-Max kini boleh diakses oleh pembangun melalui perkhidmatan Alibaba Cloud dan tersedia menerusi platform Qwen Chat, AI perbualan milik syarikat tersebut.
Sistem itu turut menawarkan keserasian dengan format API OpenAI, yang berpotensi memudahkan penggunaannya oleh organisasi yang sudah menggunakan perkhidmatan AI serupa. – AFP