Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Usaha Kumpulan ‘ALICE’ untuk menjayakan konsert ‘Looking Through the Autisme Wonderland’ yang akan diadakan pada 22 dan 23 September ini mendapat sambutan menggalakkan apabila kutipan mereka terus meningkat.
Semasa sidang media di Bangunan SMARTER BACA, Sungai Hanching petang semalam, Dayang Wardatul Ramzuna menjelaskan kumpulan mereka telah menjalankan beberapa aktiviti jualan garaj bagi membolehkan orang ramai memberikan sumbangan.
“Setakat ini, melalui jualan garaj sebanyak dua kali semasa Program BandarKu Ceria baru-baru ini, kumpulan kami berjaya mengutip sebanyak $1,700, manakala ‘ALICE’ IHS dan SMARTER Brunei pula berjaya mengutip sebanyak $10,700,” ujarnya.
Menurut Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman, konsert ini nanti akan mempamerkan kekuatan, bakat dan kemahiran pelajar autisme kepada masyarakat di negara ini.
Selain dapat menambah dana untuk Pusat SMARTER Brunei, konsert ini juga diharap dapat melenyapkan sikap negatif yang dikaitkan dengan autisme sehingga mengakibatkan diskriminasi dan peminggiran.

Beliau berharap masyarakat akan menyokong apa sahaja usaha murni pusat ini untuk membantu pelajar mereka hidup harmoni bersama ahli masyarakat yang lebih bernasib baik. Beliau juga berharap untuk mencapai sasaran mengutip dana sebanyak $100,000 bagi meneruskan operasi pusat-pusat SMARTER.
Konsert di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 2 hingga 3 September itu nanti akan mempamerkan artis-artis berbakat terdiri daripada kanak-kanak dan belia autisme sekitar 100 orang. Pengarah Biro Sekolah Teater Asia Pasifik, Low Kok Wai yang juga bekas pensyarah pembelajaran teater dan drama Universiti Brunei Darussalam turut menjelaskan, kerjasama IHS dan SMARTER adalah projek pertama yang dijalankan oleh pelajar Tahun 3 perubatan sebagai modul pendekatan komuniti.
Persembahan muzikal siri ke-5 yang diadaptasi daripada ‘Alice Adventures in Wonderland’ selama dua hari.