Enam tahun lalu tragedi tembakan rambang di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand mengejutkan dunia yang menyaksikan 51 orang terbunuh dalam kejadian tersebut.
Salah seorang mangsa kejadian itu adalah rakyat Malaysia yang menetap di New Zealand iaitu Rahimi Ahmad yang terkena tembakan rambang pengganas.
Kunjungan penyanyi Aliff Satar ke Christchurch turut membawanya bertemu dengan Rahimi yang sempat berkongsi pengalamannya berhubung kejadian berkenaan, lapor mStar.
Cerita Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar, 35, Rahimi yang ditembak dari arah belakang terkena tembakan pada bahagian tulang belakang sehingga menyebabkan dia mengalami masalah saraf kekal.
“Saya sempat bergambar dengan Rahimi iaitu salah seorang jemaah yang terselamat serangan pengganas di Christchurch dahulu.

“Dia cerita pengalaman sewaktu dia ditembak dari arah belakang dan terkena tulang belakang sehingga menyebabkan sakit saraf yang kekal.
“Tapi syukur masa hari kejadian dia bersama anak dia terselamat namum 51 nyawa jemaah lain terkorban, semoga Allah menempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang soleh,” katanya.
Menerusi foto yang dimuat naik Alif di Instagram, Rahimi dilihat sudah menjalani kehidupan seperti biasa namun menggunakan tongkat lengan untuk bergerak.
Untuk rekod, dalang kepada insiden tersebut iaitu Brenton Tarrant sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup tanpa parol atas tuduhan membunuh, cubaan membunuh dan keganasan.
Menurut media tempatan, Tarrant dipenjarakan dengan kawalan maksimum di Auckland, New Zealand.
Dalam pada itu, kongsi Alif, dia tersentuh mendengar cerita Rahimi apabila masyarakat tempatan di sana banyak memberi sokongan kepada komuniti Islam di negara berkenaan.
Malah ada di antara mereka yang memeluk Islam selepas mempelajari agama itu dengan lebih mendalam.
“Lebih buat saya tersentuh, bila diberitahu selepas kejadian tersebut, penduduk tempatan di sini semua banyak bagi sokongan kepada komuniti Muslim. “Siap ada kumpulan bukan Muslim yang akan duduk depan masjid ‘berjaga’ waktu jemaah solat dalam masjid.
“Malah ramai yang memeluk Islam selepas mereka dapat tahu dan belajar tentang Islam, masya-Allah,” jelasnya. – Agensi