Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alif Satar peka sensitiviti agama

    Susulan konsert Alif Satar and The Locos (ASTL) yang didakwa berlangsung di sebuah gereja di London pada 28 April lalu, vokalisnya tampil menjelaskan hal sebenar.

    Alif atau Muammad Alif Satar, 34, tidak menafikan St John Hyde Park adalah sebuah gereja lama namun kini lokasi tersebut sudah ditukar menjadi dewan komuniti tanpa membabitkan sebarang lambang keagamaan.

    Jelas Alif, pada awalnya dia sendiri berasa ragu-ragu dengan lokasi tersebut namun selepas mendapat kepastian daripada penganjur yang juga rakyat Malaysia di London, mereka meneruskan konsert di lokasi berkenaan.

    “Lokasi tersebut dahulunya sebuah gereja Angelican lama sebab itu tiada apa-apa lambang, tetapi sekarang ia sudah berubah menjadi dewan komuniti.

    “Sebenarnya saya agak ragu-ragu pada awalnya tetapi bila pihak penganjur yang juga orang Malaysia sudah jelaskan, buat saya yakin dengan lokasi tersebut.

    Alif menganggap ada pihak membangkitkan isu tersebut kerana mereka tidak tahu mengenainya. – mStar

    “Saya sendiri turut meminta nasihat dengan ustaz saya sendiri yang turut mengikuti rombongan kami ke London,” katanya ketika ditemui mStar.

    Alif menjelaskan perkara itu ketika ditemui dalam majlis pelancaran muzik video Kumandang yang berlangsung di Hotel W, Kuala Lumpur pada Jumaat.

    Sebelum ini, seorang pengguna TikTok meluahkan rasa kecewa apabila Alif memilih lokasi tersebut yang dikatakan mirip seperti sebuah gereja.

    Bagaimanapun sahabat Alif iaitu Zaidan Zainuddin bagaimanapun menjelaskan kekeliruan mengenai bangunan tersebut menerusi sebuah hantaran di Instagram miliknya pada 30 April lalu.

    Dalam pada itu, Alif memberitahu dia sangat menitikberatkan perihal agama demi menjaga sensitiviti masyarakat terutama mereka yang bukan beragama Islam.

    “Saya sangat peka dan sensitif dalam bab-bab ini, saya tak mahu mengganggu sensitiviti orang beragama lain. Bila timbul isu tersebut saya faham keprihatinan orang Malaysia.

    “Saya yakin walaupun bukan orang Islam yang sempurna tapi kami tahu batas-batas kami dan kami juga menghormati rumah ibadah orang beragama lain juga,” ujarnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda