Wednesday, December 18, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alif tak halang isteri tutup akaun IG

    Penyanyi, pelakon dan pengacara Malaysia terkenal, Alif Satar, 34, mengakui dia tidak menghalang tindakan isterinya, Shadila Halid, 40, menyahaktifkan akaun Instagram (IG) miliknya kerana bimbang dengan penyakit ain (gangguan yang disebabkan pandangan).

    Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Mohd Satar berkata, pada mulanya dia berasa sedih tetapi akur dengan keputusan isterinya itu.

    “Saya dapat tahu isteri menutup akaun IG miliknya selepas kami kembali dari bercuti di Switzerland, baru-baru ini.

    “Pada mulanya, saya berasa sedih kerana selalunya bila berasa bosan di lokasi penggambaran, saya suka tengok gambar lama kami dan gambar anak di akaun IG isteri tapi sekarang saya berasa okey pula dengan tindakannya itu.

    “Saya anggap ia perkara yang bagus kerana penyakit ain itu benar-benar berlaku dan media sosial juga lebih banyak mengundang perkara negatif jika tidak dikawal,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Gold Bar dan Dinar di GB Gold, semalam.

    Menurut laporan Harian Metro, ditanya akaun IG miliknya pula, kata Alif, dia juga akan mengawal sebarang hantaran yang mahu dikongsi di akaun media sosialnya.

    “Sebagai selebriti, pastinya saya kongsi mengenai kerjaya seni dan perkara yang bagus di IG dan komen serta maklum balas yang diberikan daripada pengikut juga positif.

    “Saya juga masih kongsi gambar bersama keluarga kerana peminat juga nak tengok tetapi lebih berpada-padalah kerana bukan semua perkara kita nak ceritakan di media sosial,” katanya. – Agensi

    Alif akan mengawal sebarang hantaran yang mahu dikongsi di akaun media sosialnya. – ohbulan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda