Tuesday, September 24, 2024
28.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Alif Teega, Aisyah Hijanah didakwa salah guna RM1.52 juta

    Pempengaruh media sosial Malaysia, Mohd Hazalif Mohd Hazani yang turut dikenali sebagai Alif Teega dan isterinya Aisyah Hijanah Azhari mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 10 pertuduhan salah guna wang derma berjumlah lebih RM1.52 juta sejak Mei 2021 hingga Julai lepas.

    Pasangan berusia 30 dan 26 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

    “Faham pertuduhan, mohon dibicarakan,” kata Mohd Hazalif dan Aisyah Hijanah ketika diminta membuat pengakuan secara berasingan di hadapan hakim.

    Mengikut kesemua pertuduhan, mereka didakwa telah mencapai niat bersama untuk secara tidak jujur menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM1,526,372.16 juta, yang mana wang tersebut antaranya bagi tujuan infak kurma, infak al-Quran, infak pek makanan bagi fakir miskin di Mekah dan Madinah, bantuan banjir di Kelantan dan Terengganu serta set pakaian raya untuk anak yatim.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank dan CIMB Bank di Seksyen 8 dan 9 Bandar Baru Bangi antara 11 Mei 2021 hingga 2 Julai 2024.

    ATAS & BAWAH: Pempengaruh media sosial, Alif Teega dan isterinya Aisyah Hijanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 10 pertuduhan salah guna wang derma berjumlah lebih RM1.52 juta sejak Mei 2021 hingga Julai lepas. – Bernama

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

    Awang Kerisnada membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM50,000 dengan syarat tambahan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan. 

    “Memandangkan tertuduh pertama telah menyerahkan pasport kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, maka tertuduh kedua iaitu Aisyah Hijanah perlu menyerahkan dokumen perjalanan sama kepada mahkamah di sini, hari ini. 

    “Kedua-dua tertuduh juga tidak boleh berhubung dengan mana-mana saksi,” kata Awang Kerisnada yang kemudiannya menetapkan 27 November ini untuk sebutan semula kes.

    Pada Jumaat lepas, Mohd Hazalif mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan penyalahgunaan wang berjumlah RM63,605.48 yang diperoleh daripada kutipan dua program infak pada April dan Jun tahun ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda