Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aliff Aziz minta maaf, kirim doa hari jadi anak

    Sempena ulang tahun kelahiran ketujuh, pelakon dan penyanyi Aliff Aziz meluahkan rasa rindu terhadap anak lelakinya iaitu Ayden Adrean.

    Aliff atau Mohamad Aliff Aziz, 33, berkata, walaupun berjauhan dan tidak dapat bertemu namun dia sentiasa mendoakan buat anaknya.

    “Ayah rindukan awak, lebih daripada awak bayangkan. Ayah minta maaf kerana tidak dapat bersama di hari istimewa ini namun doa ayah akan sentiasa menemani. Semoga awak terus membesar menjadi anak yang pintar dan kacak,” luahnya.

    Aliff menulis perkara tersebut di laman Instagram miliknya pada Isnin berserta gambar kenangan mereka bersama sebelum ini.

    Menerusi kapsyen yang ditulis, Aliff juga memberi gambaran dia bersama ahli keluarga di Singapura turut menitip hadiah buat Ayden.

    Malah, Aliff juga berharap dapat bertemu dua orang anaknya yang kini berada di bawah jagaan bekas isteri iaitu pelakon Bella Astillah.

    “Ayah sayangkan awak. Semoga ayah dapat berjumpa awak dan adik dalam masa terdekat,” ucapnya.

    Selain Ayden, Aliff dan Bella mempunyai seorang lagi anak perempuan iaitu Ara Adreana, 4 tahun.

    Mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.

    Aliff bersetuju menyerahkan hak penjagaan anak kepada bekas isterinya manakala Bella pula tidak menuntut sebarang mutaah serta harta sepencarian. – Agensi

    Aliff sentiasa mendoakan yang terbaik buat Ayden. – mStar

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda