Pelakon Aliff Aziz menyangkal dakwaan segelintir pihak yang mengatakan isu dia dikaitkan dengan pelakon Sophia Albarakbah adalah semata-mata gimik bagi mempromosikan drama lakonan mereka iaitu Ku Akad Kau Dengan Bismillah.
Aliff, 32, sebaliknya menjelaskan dia tidak akan sesekali memberi sebarang persetujuan sekiranya diminta oleh mana-mana produksi untuk membuat gimik murahan semata-mata meraih perhatian penonton.
Kata Aliff, dia lebih gembira sekiranya drama lakonan mereka mendapat tempat di hati penonton disebabkan kehebatan jalan cerita itu sendiri.
“Saya berharap drama ini dapat sambutan kerana naskhah itu sendiri dan bukannya daripada sebarang gimik,” katanya kepada mStar.
Aliff berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media drama baharu TV3 bulan Februari yang diadakan di Park 28, Mutiara Damansara, Damansara kelmarin.
Dalam pada itu, Aliff memberitahu perkara yang berlaku ini bukanlah sesuatu yang menggembirakannya, malah dia menekankan bahawa tiada langsung terkait dengan gimik yang dirancang.
Mengulas lanjut tentang drama lakonannya itu, Aliff berkongsi dia bakal membawakan watak sebagai Luth Mikhail dan berusaha untuk memberikan kelainan.
Selain Aliff, drama bersiri 28 episod ini turut dibintangi barisan pelakon popular termasuk Sophia Albarakbah, Halim Radzi, Shah Iskandar, Jasmin Hamid, Zaki Azeman, Jasmine Suraya dan Hilal Azman.
