Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aliff belum sedia kejar pengiktirafan

    Artis sensasi, Aliff Aziz, mengakui tidak terlalu meneliti atau mengambil tahu mengenai sebarang pencalonan anugerah diterima termasuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-37.

    Pelakon dan penyanyi berusia 33 tahun itu berkata, meskipun ABPBH dianggap antara anugerah berprestij dalam industri hiburan tanah air, namun, buat masa ini, tumpuannya bukanlah pada mengejar pengiktirafan.

    “ABPBH adalah satu anugerah berprestij yang sudah lama bertapak. Saya masih ingat, sejak awal kemunculan dalam industri pun, ABPBH sudah menjadi antara acara paling dinanti setiap tahun,” katanya kepada BH Online.

    Namun, kata Aliff, selepas melalui pelbagai fasa dalam kehidupan termasuk kejatuhan akibat kontroversi lalu, keutamaannya kini tertumpu kepada membaiki diri dan memperkukuh perjalanan hidup.

    “Buat masa sekarang, saya tidak terlalu meneliti apa-apa pencalonan, termasuk siapa yang tersenarai. Saya akui itu mungkin kesalahan saya sendiri kerana tidak ambil tahu.

    “Tetapi pada masa sama, saya rasa ada perkara lain yang lebih utama untuk saya berikan perhatian,” katanya.

    Menolak tanggapan bersikap acuh tak acuh terhadap penganjuran anugerah, juara Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) itu menjelaskan, dia hanya mahu memberi ruang kepada dirinya untuk fokus pada perkara yang benar-benar penting dalam kehidupan peribadi dan kerjaya.

    “Saya bukan menolak anugerah, cuma buat masa ini saya mahu tumpu pada perkara lain yang lebih penting,” katanya.

    Pada masa sama, Aliff berkata, dia belum dapat memberikan jawapan sama ada akan menghadiri malam kemuncak ABPBH 37 sekiranya menerima undangan rasmi.

    “Sekiranya dijemput, saya akan pertimbangkan. Buat masa ini, saya belum boleh beri kata putus kerana banyak faktor perlu diambil kira, termasuk soal kesihatan dan komitmen lain,” ujarnya.

    Jelasnya, meskipun belum pasti kehadiran, dia tetap menghormati acara berkenaan dan mendoakan kelancaran penganjuran ABPBH 37.

    “Saya sentiasa menghargai usaha penganjur dam mengharapkan yang terbaik untuk semua pasukan ABPBH. Semoga acara malam kemuncak berjalan lancar,” katanya.

    Menariknya, nama Aliff masih kekal dalam perhatian peminat apabila tersenarai dalam Top 10 kategori Aktor TV Popular bagi ABPBH 37.

    Antara calon lain yang bersaing dalam kategori sama ialah Azhan Rani, Fattah Amin, Hisyam Hamid, Hun Haqeem, Meerqeen, Mierul Aiman, Nadhir Nasar, Shukri Yahaya dan Zahiril Adzim.

    Pencalonan itu sekali gus membuktikan populariti Aliff masih utuh meskipun dia kini memilih untuk lebih berhati-hati dalam perjalanan seninya. – Agensi

    Untuk rekod, Aliff pernah dicalonkan dalam kategori sama menerusi ABPBH 31 pada tahun 2018, ketika kariernya sedang berada di puncak. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda