Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aliff Iskandar kini suami orang, kenalan 4 tahun lalu

    Dalam diam-diam penyanyi Malaysia, Aliff Iskandar selamat bergelar suami kepada wanita pilihan hatinya iaitu Najihah Rizal dalam satu majlis yang berlangsung secara tertutup pada Sabtu lalu.

    Memetik laporan mStar, Aliff atau nama sebenarnya Nor Aliff Iskandar Norazmi, 24, yang tidak banyak berkongsi mengenai hubungan cinta sebelum ini, berkata beliau lebih selesa untuk tidak terlalu terbuka berkongsi kisah peribadi.

    “Sejak awal lagi saya lebih selesa untuk simpan kisah ini. Memang ada niat nak beritahu tetapi saya menunggu waktu yang tepat.

    “Rasanya lebih elok saya beritahu apabila sudah bergelar suami isteri. Ini adalah kisah privasi saya dan biarlah perjalanan hidup saya begitu,” katanya kepada mStar

    Menurut Aliff, majlis pernikahan itu berlangsung di rumah pengantin perempuan di Kangar, Perlis, manakala mas kahwin serta hantaran dirahsiakan.

    Pasangan ini juga bakal diraikan dalam satu majlis resepsi tidak lama lagi.

    Bercerita detik pertemuan dengan isteri, Aliff berkata mereka mula mengenali sejak empat tahun lalu dan hubungan menjadi lebih rapat sejak beberapa bulan lalu.

    “Kami dalam kumpulan rakan yang sama dan dah kenal sejak empat tahun lalu. Namun tidaklah terlalu rapat. Hanya kenal wajah dan nama sahaja. Bertegur pun jarang.

    “Cuma sejak beberapa bulan lalu kami mula berbual dan mengenali lebih rapat antara satu sama lain. Apabila sudah rapat barulah kami rancang untuk berkahwin,” ujarnya.

    Tambah Aliff, hatinya terbuka untuk menerima Najihah, 24, sebagai isteri kerana wanita itu cukup memahami dirinya dan mereka berkongsi banyak persamaan.

    Malah beliau juga memberitahu hatinya secara tiba-tiba terdetik untuk mendirikan rumah tangga ketika berbual bersama peminat dalam sesi secara langsung di laman TikTok.

    “Perasaan datang untuk berkahwin datang secara tiba-tiba waktu tengah live. Saya rasa sudah bersedia untuk menyayangi seseorang dan melangkah ke fasa seterusnya. Saya bersedia untuk menjalani kehidupan baru.

    “Banyak persamaan antara kami yang membuat saya memilih Najihah. Dia juga seorang yang sangat memahami,” jelasnya. – Agensi

    Aliff Iskandar selamat bergelar suami kepada Najihah. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda