Usahawan sensasi dan juga pempengaruh, Datuk Aliff Syukri mendakwa berjaya memiliki sebuah jet peribadi hasil titik peluh menjual jeruk mangga bersama anak sulungnya, Ammar Ahyan.
Menerusi sepotong video yang dimuat naik dalam Instagram (IG), Aliff, 38, sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi video keterujaan bersama isteri dan anaknya menaiki jet peribadi berwarna hitam tersebut.
Menerusi video berdurasi hampir satu minit itu, Aliff dan anak sulungnya, Ammar Ahyan, sempat masuk ke dalam jet peribadi tersebut dan melakukan lawatan ringkas sambil menunjukkan kemudahan mewah dalam pesawat mewah tersebut menurut laporan Kosmo.
“Alhamdulillah, berkat menjual jeruk bersama Ammar Ahyan kita dapat beli sebuah private jet,” luahnya.
Sebelum ini, Aliff pernah menafikan dakwaan nombor plat kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire terbaharunya mencecah ratusan ribu ringgit.
Alasan diberikan, dia enggan namanya diburu pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan harga jet peribadi yang kononnya dibeli dan dimiliki Aliff.
Menurut carian di internet, Model kapal terbang Cessna 172 yang dikatakan model paling laris bagi milikan persendirian dalam dianggarkan sekitar RM1.6 juta bagi yang baharu. – Agensi
