Selepas tiga tahun turun naik mahkamah, usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri akhirnya menarik nafas lega apabila dia dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang di media sosial.
Keputusan itu dibuat Hakim Ahmad Fuad Othman di Mahkamah Sesyen Sepang pada Rabu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui tahap keraguan munasabah.
Menurut peguam mewakili Aliff iaitu Hasshahari Johari Mawi, mahkamah memutuskan pertuduhan yang dikemukakan terhadap anak guamnya itu tidak menepati undang-undang.
Menurut laporan mStar, “mahkamah putuskan Aliff dilepas dan dibebaskan daripada semua keempat-empat pertuduhan.
“Alasan mahkamah jelas iaitu pertuduhan tidak menepati undang-undang dan tidak boleh kekal,” katanya ketika dihubungi mStar.
Untuk rekod, pada 13 Oktober 2022, Aliff mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang di akaun Instagram miliknya @aliffsyukriterlajaklaris pada April 2022.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, mahkamah pernah memerintahkan Aliff membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, namun keputusan terbaharu jelas memihak kepadanya.
Kes ini bermula selepas muzik video raya nyanyiannya berdurasi lima minit 23 saat tular dan mendapat kecaman ramai yang mendakwa penampilan penari lelaki lembut dalam klip berkenaan terlalu keterlaluan serta mencemarkan suasana Aidilfitri. – Agensi


