Usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri mempelawa pelakon Fazura untuk berduet bersama selepas mendengar nyanyian aktres berkenaan di sebuah program televisyen Indonesia, dedah mStar.
Memetik kenyataan mStar, Aliff atau Aliff Syukri Kamarzaman, 37, memuji kelunakan suara Fazura dan menyifatkan bakat yang dimiliki pelakon tersebut boleh membuatkan dia terkenal di serata dunia. Malah Aliff yakin sekiranya mereka menyanyikan lagu bersama pasti akan mendapat sambutan ramai.
“Okey, boleh tahanlah suara awak sedap sangat Fazura. Jom kita berduet. Saya rasa kalau awak berduet dengan saya bakat awak lebih terserlah.
“Kita akan meletup bersama. Jom Fazura, awak memang sesuai berduet dengan saya.
Awak akan terkenal, bukan di Malaysia malah di serata dunia. Jom kita tunjukkan bakat kita bersama-sama,” katanya.
Aliff berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram pada petang kelmarin.
Dalam pada itu, Aliff memberitahu Fazura memiliki suara yang unik dan melihat tidak ada sebarang kekurangan dengan vokal pelakon filem Gol & Gincu itu.
“Syabas suara awak (Fazura) unik dan sedap. Bagi saya suara itu adalah universal. Sedap sahaja saya dengar.
“Insya-Allah Fazura boleh pergi jauh. Siapa setuju sila komen. Lagu raya tahun ini mungkinkah?” ujarnya. – Agensi