NEW YORK, 24 FEB – Aligator yang diselamatkan dari tasik sejuk di Bandar New York pada hujung minggu lalu telah menelan penyumbat tab mandi, menurut pihak berkuasa.
Aligator betina sepanjang 1.5 meter itu kelihatan lesu dan tidak bermaya akibat terdedah kepada cuaca sejuk melampau apabila ia ditemui di Tasik Prospect Park di Brooklyn pada Ahad, menurut jurucakap untuk Zoo Bronx, di mana aligator itu ditempatkan.
Selepas dikesan oleh pekerja penyelenggaraan taman, aligator itu dikeluarkan dari tasik dan dibawa ke Pusat Jagaan Haiwan Bandar New York sebelum dibawa ke Zoo Bronx.
Pegawai zoo berkata aligator itu terlalu lemah untuk makan dan diberi makanan menerusi tiub.
Pada 6.8 kilogram, aligator itu amat kurus-kering, memandangkan aligator sepanjang itu harus mempunyai berat 13.6 hingga 15.9 kilogram. – AP