KUALA LUMPUR, 3 NOV – Aliran masuk dana asing bersih ke pasaran ekuiti tempatan telah mencatatkan aliran meningkat, dengan aliran keluar terus menurun bulan ke bulan, menandakan kemungkinan berakhirnya aliran menurun pada tahun ini.
Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata berdasarkan corak itu, dijangka aliran masuk bersih pada minggu-minggu akan datang akan terus meningkat berikutan Bursa Malaysia telah mencecah paras terendah pada tahun ini.
“Pasaran saham telah menghampiri paras terendah bagi tahun ini, serta mencatat paras terendah dalam tempoh empat tahun pada 1,548.45 mata. Sejak itu pasaran telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan dan mencapai paras tertinggi pada Rabu dalam tempoh enam minggu pada paras 1,597.98,” katanya kepada Bernama.
Berdasarkan data yang direkodkan, Ogos mencatatkan aliran keluar bersih terbesar sebanyak RM2.59 bilion dan jualan bersih terus berkurangan kepada RM550.01 juta pada September dan menyusut kepada RM484.55 juta pada Oktober. – Bernama