Aliran pelaburan ke Malaysia perlihatkan trend positif

KUALA LUMPUR, 15 SEPT – Aliran masuk pelaburan ke Malaysia dijangka menyaksikan trend positif berikutan kadar pemberian vaksinasi COVID-19 yang tinggi selain keadaan politik yang semakin stabil, demikian menurut firma pelaburan global Franklin Templeton.

Naib Presiden Kanan dan Pengurus Portfolio Ekuiti Pasaran Baru Muncul Franklin Templeton Erik Mok berkata risiko gangguan selanjutnya terhadap ekonomi dijangka lebih rendah memandangkan banyak sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi semula secara beransur-ansur termasuk sektor pembuatan dan perkhidmatan bukan keperluan utama.

“Mulai sekarang, kita sudah boleh menjangkakan dasar yang positif dan stabil.

“Secara keseluruhannya, kita akan melihat lebih banyak kepelbagaian di ASEAN yang memberi manfaat kepada Malaysia berserta situasi COVID-19 yang lebih baik,” katanya dalam Siri Webinar Media Franklin Templeton secara maya hari ini. – Bernama