(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Apabila sakit kita dianjurkan untuk berubat. Namun ubat yang dianjurkan dalam Islam itu mestilah ubatan-ubatan yang halal, bukan yang diharamkan ataupun ubat-ubatan yang suci bukan yang najis.
Larangan berubat dengan benda yang haram ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu ad-Darda’ r.a. yang maksudnya:
“Rasullullah bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubat, maka berubatlah kamu, dan jangan kamu berubat dengan yang haram.”(Hadis riwayat Abu Daud)
Manakala larangan berubat dengan najis pula ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., beliau berkata yang maksudnya:
“Rasulullah melarang daripada (berubat dengan) ubat yang kotor (najis).” (Hadis riwayat Abu Daud)
Kedua-dua hadis tersebut melarang berubat dengan benda yang haram dan najis. Namun berubat dengan suatu yang haram boleh menjadi harus jika dalam keadaan tertentu seperti darurat atau terpaksa. Dalil keharusan berubat dengan suatu yang ditegah dalam keadaan darurat itu adalah berdasarkan firman Allah yang tafsirnya:
“Padahal Allah telah menjelaskan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya.” (Surah Al-An‘am: 119)
Berdasarkan ayat tersebut dan ayat-ayat seumpamanya, maka para ulama telah menggariskan kaedah yang maksudnya:
Ertinya: “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.”
Keharusan berubat dengan sesuatu yang najis atau haram itu juga hanyalah pada keadaan tertentu sahaja iaitu apabila tidak ditemui ubat yang halal dan suci yang boleh menggantikannya. Dalam perkara ini, Imam Al-‘Izz bin ‘Abdussalam Rahimahullah berkata:
“Harus berubat dengan najis apabila tidak ada ubat yang suci yang boleh menggantikannya, kerana maslahat kesihatan dan kesejahteraan itu lebih sempurna berbanding dengan maslahat menjauhi najis.”
Walaupun dibolehkan penggunaan najis dan sesuatu yang haram itu sebagai ubat, namun kebolehan itu adalah setakat kadar keperluan sahaja dan tidak melampaui batas, sebagaimana firman Allah yang tafsirnya:
“Tetapi sesiapa terpaksa (memakannya) sedang ia tidak meng-ingininya dan tidak pula melampaui batas maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih.” (Surah Al-Baqarah: 173)
Namun dalam era yang serba membangun ini, tidak dinafikan ada sebahagian ubat yang bercampur dengan alkohol. Ubat-ubatan yang bercampur dengan alkohol ini diragui kesuciannya namun dikhabarkan boleh menyembuhkan penyakit-penyakit tertentu. Persoalannya, adakah menggunakan ubat-ubatan yang bercampur dengan alkohol ini dibolehkan mengikut hukum syarak?
Apa itu alkohol?
Alkohol ialah bahan cecair tanpa warna yang mudah mengwap menjadi gas dan mudah terbakar. Ia boleh dihasilkan melalui dua cara, iaitu:
Penapaian yis karbohidrat (yeast fermentation of carbohydrates). Cara inilah merupakan cara bagaimana menghasilkan khamar (arak) atau minuman yang memabukkan.
Sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia (yang bukan daripada sumber semula jadi seperti tumbuhan dan binatang) dengan mencecairkan etil (hydration of ethylene). (The New Webster’s Encyclopedic Dictionary Of The English Language: 17)
Adakah alkohol itu najis?
Kenajisan alkohol adalah mengikut daripada apa ia diperbuat sebagaimana disebutkan sebelum ini bahawa alkohol boleh dihasilkan melalui dua cara iaitu melalui penapaian yis karbohidrat dan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia.
Alkohol bersumber dari arak iaitu penapaian yis karbohidrat
Menurut jumhur ulama yang terdiri daripada Imam-Imam mazhab yang empat iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam asy-Syafi‘i, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain ulama rahimahumullah arak itu adalah najis berdasarkan firman Allah yang tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengadu nasib dengan anak panah itu adalah (perbuatan) keji dari perbuatan syaitan. Maka hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kemenangan (dan keberuntungan).” (Surah al-Ma’idah: 90)
Oleh kerana arak itu menurut jumhur ulama adalah najis, maka alkohol yang terdapat dalam arak itu pun adalah najis juga. Dari itu, mana-mana alkohol yang dihasilkan atau diambil (extract) daripada arak atau mana-mana minuman yang sifatnya memabukkan adalah najis juga hukumnya.
Alkohol bersumber dari sintetik atau tiruan bahan kimia
Alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia yang mana sifatnya sangat memudaratkan seperti mana racun, ia adalah suci seperti sucinya ganja, candu, morfin dan lain-lain yang memudaratkan di mana tidak ada seorang ulama pun yang menghukumkannya sebagai najis ‘ainiyyah.
Bolehkah alkohol dibuatkan ubat?
Alkohol yang dihasilkan atau diambil (extract) daripada arak atau mana-mana minuman yang memabukkan adalah haram untuk dijadikan ubat melainkan ianya bercampur dengan bahan yang lain dan tidak ada ubat lain selainnya.
Sementara alkohol sintetik atau tiruan dari campuran bahan kimia adalah tidak haram dijadikan ubat selagi ubat tersebut tidak memudaratkan. Sekalipun masih ada ubat yang lain kerana ia bukan najis.
Perbezaan berubat antara alkohol bersumber daripada arak dengan najis yang lain
Terdapat perbezaan hukum dalam berubat menggunakan najis alkohol yang terhasil daripada arak dengan berubat menggunakan najis-najis yang lain walaupun dalam keadaan darurat.
Berubat dengan zat arak semata-mata adalah haram sekalipun dalam keadaan darurat, namun ia menjadi harus ketika darurat itu apabila arak itu sudah bercampur dengan benda lain. Inilah yang dikatakan oleh Imam Ibnu Hajar Rahimahullahu Ta‘ala dalam kitab al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah:
“Harus berubat dengan kuku bangkai, tulang-tulangnya dan segala jenis najis, sama ada zatnya atau campurannya melainkan arak, maka tiada harus berubat dengan zat (‘ain) arak, tetapi harus dengan campuran (bancuhannya).”
Ulama Mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa haram hukumnya berubat dengan zat arak ataupun alkohol yang bersumber daripada arak semata-mata. Keharaman ini berlaku selama ia tidak dicampur dengan bahan lain. Keharusan itu pun hanyalah apabila tidak ada ubat lain selain ubat yang bercampur arak atau alkohol tersebut.
Manakala berubat dengan najis selain arak atau alkohol yang bersumber daripada arak jika digunakan dalam keadaan darurat adalah harus sama ada zat najis itu bercampur ataupun tidak bercampur dengan benda lain. Walau bagaimanapun, keharusannya adalah ketika tidak ada ubat lain selain ubat tersebut.
Berdasarkan daripada penjelasan di atas dapatlah disimpulkan bahawa walaupun dalam keadaan darurat berubat dengan zat alkohol yang terhasil daripada arak adalah tetap haram melainkan alkohol yang sudah bercampur dengan benda lain. Sementara berubat dengan najis yang lain, sama ada najis itu bercampur dengan benda lain ataupun tidak adalah harus saja dalam keadaan darurat.
Apa yang penting ialah berubat dengan alkohol dan najis sebagaimana syarat di atas hanyalah diharuskan apabila benar-benar tidak ditemui ubat yang halal dan suci yang boleh menggantikannya.
Namun perlu diingat bahawa keharusan penggunaan ubat-ubat tersebut juga hendaklah setelah mendapat nasihat daripada ahli perubatan yang telah diakui kepakarannya dan penggunaannya juga hanya pada kadar keperluan sahaja.