TOKYO, 1 NOV – Pemain sayap veteran Ben Smith menjaringkan dua gol menarik ketika membantu New Zealand menewaskan Wales 40-17 untuk menduduki tangga ketiga Piala Dunia Ragbi di Tokyo hari ini sekali gus menjadi majlis perpisahan sempurna buat jurulatih Steve Hansen.
Pada perlawanan terakhir Hansen dan rakan sejawatnya dari Wales, Warren Gatland, selepas masing-masing mengendalikan pasukan selama tujuh dan 12 tahun, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan menghiburkan menyaksikan New Zealand mengatasi Wales dengan enam gol berbanding dua.
Keputusan itu bermakna New Zealand menang 32 daripada 35 pertembungan dengan Wales, kali terakhir tewas pada 1953, manakala rekod mengagumkan Hansen termasuk hanya 10 kekalahan dalam 107 perlawanan ujian.
“Penting buat kami untuk kembali dan menghargai jersi yang disarung serta penyokong kami sekali gus melupakan kekalahan minggu lalu,” kata Hansen, merujuk kepada kekalahan pada separuh akhir di tangan England.
“Satu perlawanan sukar buat ke-dua-dua pasukan dan saya hanya mahu mengucapkan tahniah kepada Wales kerana saya tahu apa perasaan mereka ketika ini.” – AFP