Thursday, February 27, 2025
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    All England: Tang Jie-Ee Wei perlu kawal emosi – Nova

    KUALA LUMPUR, 26 FEB – Ketua jurulatih beregu campuran Malaysia, Nova Widianto berkata peluang terbuka bagi mana-mana pasangan beregu campuran untuk merebut kejuaraan All England 2025 yang bakal berlangsung di Birmingham dari 11 hingga 16 Mac ini.

    Beliau berkata ketiadaan dua bekas juara iaitu Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun serta gandingan China Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong kali ini menyaksikan peluang untuk melakar kejayaan pada kejohanan badminton tertua dunia itu.

    Watanabe-Higashino mengumumkan tidak lagi bergandingan pada Ogos lepas manakala Si Wei-Ya Qiong pula menggantung raket masing-masing pada November dan bulan lepas.

    Bagaimanapun, Nova mengingatkan beregu campuran nombor satu Malaysia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk mengawal emosi sekiranya mahu melakar pencapaian membanggakan pada saingan yang akan berlangsung di Utilita Arena Birmingham.

    “All England ialah kejohanan besar dan mereka perlu selalu jaga emosi. Jangan letak harapan terlalu tinggi, kalau tak sukar untuk kawal (emosi) nanti.

    “Selama ini mereka banyak kalah disebabkan (emosi). All England pada tahun lepas pun macam itu, sudah mendahului kemudian kalah dan itu harus menjadi pengajaran buat mereka,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan di Kuala Lumpur semalam. Tahun lepas, perjalanan pasangan nombor empat dunia itu terhenti di pusingan kedua selepas dikejutkan oleh gandingan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek, 21-17, 19-21, 16-21. – Bernama

    Aksi Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei ketika menentang pemain dari Thailand Dechapol Puavaranukroh dan Supissara Paewsampran pada Kejohanan Master Indonesia di Istora Senayan pada 24 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda