BAGHDAD, 2 FEB – Presiden Iraq menamakan bekas menteri komunikasi Mohammad Allawi sebagai perdana menteri baharu negara semalam selepas persetujuan saat-saat akhir di kalangan blok politik, namun pembangkang meragui pencalonan beliau.
Baghdad dan kawasan selatan telah pun dibelenggu rapat antikerajaan selama empat bulan yang menuntut pilihan raya kilat diadakan, pelantikan perdana menteri baharu dan bertanggungjawab atas rasuah dan keganasan berkaitan bantahan.
Perdana Menteri Adel Abdel Mahdi meletak jawatan pada Disember tetapi puak politik gagal mencapai persetujuan berhubung penggantinya.
Kecewa dengan penangguhan dan bimbang mengenai keadaan tidak stabil, Presiden Barham Saleh meminta blok politik untuk melantik seorang perdana menteri baharu, mendorong mereka mengadakan rundingan krisis yang mencapai kata sepakat mengenai pencalonan Allawi.
Pada petang semalam, Allawi menyampaikan ucapan di televisyen, berjanji akan membentuk kerajaan perwakilan, mengadakan pilihan raya parlimen awal dan memastikan keadilan untuk keganasan berkaitan bantahan – semua tuntutan utama oleh pembantah.

“Pencalonan ini memberikan tanggungjawab besar kepada saya,” kata Allawi dalam ucapannya.
Beliau sebelumnya menyiarkan video di Twitter mengumumkan pelantikan tersebut.
Pejabat presiden menyiarkan gambar Saleh menyerahkan kertas pelantikan kepada Allawi.
Namun pembantah di seluruh Iraq tidak menyokong pelantikan itu.
Beberapa minit selepas pengumuman, ramai di kem bantahan Baghdad di Dataran Tahrir mulai melaung ‘Allawi tidak diterima, Allawi tidak diterima!’
Penunjuk perasaan membanjiri jalan di bandar suci Najef, berikrar akan meneruskan gerakan mereka kerana Allawi bukan pemimpin bebas yang dituntut oleh mereka. – AFP