SINGAPURA, 21 JULAI – Massimiliano Allegri berikrar untuk mengembalikan kegemilangan AC Milan ketika beliau kembali dilantik sebagai pengurus kelab gergasi Itali itu buat kali kedua, susulan prestasi hambar pasukan yang menyaksikan penyingkiran Sergio Conceicao selepas hanya lima bulan memimpin.
Allegri, yang sinonim dengan kejayaan, dipanggil semula selepas Milan mencatat kedudukan liga terburuk dalam sedekad, menamatkan kempen Serie A 2024-2025 di tempat kelapan dan gagal layak ke kejohanan Eropah. Mereka turut tewas dalam final Coppa Italia kepada Bologna.
“Matlamat musim ini adalah untuk membawa Milan kembali ke Liga Juara-Juara kerana kelab seperti AC Milan seharusnya beraksi di pentas Eropah,” kata Allegri kepada media di Singapura, di mana pasukannya akan menentang Arsenal dalam aksi persahabatan pra-musim pada Rabu.
“Ini adalah objektif utama saya dari awal lagi. Inilah jenis perlawanan yang menjadi nadi pasukan. Kami tidak akan menoleh ke belakang, sebaliknya kami fokus pada masa depan,” tambah jurulatih berusia 57 tahun itu.
Allegri sebelum ini membimbing Milan dari 2010 hingga 2014, dan membawa kelab meraih kejuaraan Serie A (Scudetto) pada musim pertamanya – kejuaraan pertama Milan sejak 2004. Beliau kemudian menikmati kejayaan besar bersama Juventus dengan memenangi lima kejuaraan liga berturut-turut.
“Sudah lebih sedekad sejak kali pertama saya memimpin Milan. Keadaannya kini jelas berbeza. Banyak perkara telah berubah, bukan hanya di Milan tetapi juga dalam dunia bola sepak,” jelas Allegri.
“Tetapi matlamat utama tetap sama untuk mengembalikan kelab ini ke tempat asalnya, iaitu di Liga Juara-Juara.”
Allegri turut menyatakan keyakinannya terhadap pemain baharu, Luka Modric, yang baru tiba dari Real Madrid untuk membantu memulihkan status Milan sebagai antara kelab elit Eropah. Milan merupakan juara Eropah sebanyak tujuh kali. – AFP
